Badan Peguam gesa CJ baru tingkatkan kebebasan kehakiman
Badan Peguam Malaysia menggesa Ketua Hakim Negara yang baru dilantik, Tan Sri Richard Malanjum meningkatkan kebebasan kehakiman dan melaksanakan reformasi badan kehakiman sepanjang tempoh memegang jawatan itu.
Selain Richard, turut dilantik ialah Tan Sri Ahmad Maarop sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala Datuk David Wong Dak Wah mengangkat sumpah jawatan sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Mengalu-alukan pelantikan tersebut, Presiden Badan Peguam, George Varughese berkata adalah penting untuk melindungi badan kehakiman negara daripada pelantikan yang tidak mengikut perlembagaan.
"Badan Peguam Malaysia berharap bahawa badan kehakiman yang lebih bebas dan pembaharuan kehakiman yang sangat diperlukan akan menjadi ciri utama Richard Malanjum sebagai ketua hakim," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata adalah penting bagi hakim dan badan kehakiman bebas daripada sebarang tekanan demi untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang.
"Kami percaya bahawa pelantikan-pelantikan baru ini merupakan kemuncak kebebasan baru bagi badan kehakiman, dan akan mengangkat badan kehakiman daripada pelantikan-pelantikan yang tidak mengikut pelembagaan seperti ketua hakim terdahulu, (Tun) Md Raus Sharif, dan presiden Mahkamah Rayuan sebelum ini, (Tan Sri) Zulkefli Ahmad Makinudin,"kata Varughese dalam satu kenyataan.
Varughese merujuk tindakan kerajaan sebelum ini melanjutkan tempoh perkhidmatan Raus dan Zulkefli dengan pelantikan mereka sebagai hakim tambahan meskipun telah mencapai umur persaraan mandatori.

