Pergerakan Pemuda Umno Kedah membidas tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menerima pencalonan presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum diisytiharkan menang tanpa bertanding jawatan itu.

Ini kerana menurut ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Mukhriz ternyata melanggar perkara ketiga daripada 10 janji Pakatan Harapan Kedah yang dibuat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) iaitu menilai semua pembabitan ahli politik dalam KFA.

“Bagi Pemuda Umno Kedah inilah wajah hipokrit Pakatan Harapan yang sama sekali melanggar janji mereka selama ini.

“Kenyataan Mukhriz dipilih adalah alasan semata-mata bagi menghalalkan tindakan mereka sedangkan pada beliau dan ahli politik lain yang dicalonkan boleh menolak pencalonan jawatan dalam KFA sejak awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata belum pun 100 hari HARAPAN memerintah Kedah, mereka langsung tidak memperdulikan ikrar yang dibuat.

“Pemuda Umno Kedah juga ragu akan kemampuan menteri besar memenuhi janji Pakatan Harapan di negeri ini.

“Kami beranggapan menteri besar tidak mempunyai fokus 100 peratus untuk memajukan negeri kerana hakikatnya beliau lebih bernafsu terhadap jawatan penting di peringkat pusat,” katanya.

Menurut Shaiful Hazizy, HARAPAN dan kepimpinannya seolah-olah masih berbulan madu sehingga gagal menggerakkan apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Sehubungan itu, kata beliau, Pemuda Umno Kedah akan terus memantau gerak geri Pakatan Harapan Kedah dalam melaksanakan janji 100 hari dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu.