Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS bayangkan himpunan Melayu-Islam ala 1946
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 1:34 PM
Dikemaskini: Jul 16, 2018 6:41 AM

PAS membayangkan perhimpunan kesatuan Melayu, seperti pada tahun 1946, susulan dakwaan “gugatan politik” ke atas kepentingan agama, rakyat dan negara.

Dalam berita bertajuk “Tiba masa Melayu-Islam kembali berhimpun” di Harakahdaily, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marsuki mendakwa kerajaan baru cuba menghakis agama Islam, institusi Raja, Bahasa Melayu serta hak istimewa Bumiputera.

"Situasi hari ini sudah ada ancaman untuk menghakis empat tonggak utama perlembagaan.

"Ini seolah-olah menyeru orang Melayu-Islam mengulangi himpunan pernah dilakukan itu dahulu.

"Daripada himpunan itulah mereka mengemukakan agenda kehendak masyarakat Islam pada waktu itu yang kemudian membawa kepada himpunan besar-besaran menentang Malayan Union," beliau dilapor sebagai berkata.

Laporan itu tidak merujuk secara khusus terhadap mana-mana isu.

Bagaimanapun, PAS semalam mempertikaikan pelantikan tiga jawatan penting melibatkan undang-undang dan kehakiman.

Ia melibatkan pelantikan Datuk Liew Vui Keong sebagai menteri undang-undang, Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara.

Pemimpin Umno Lokman Noor Adam, yang menggunakan platform NGO, semalam mengumumkan himpunan pada 17 Julai berdekatan Bukit Aman dalam isu yang sama.

Sementara itu, Zuhdi mengingatkan himpunan 1946 didorong oleh sikap British yang memperluaskan campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri Melayu, termasuk menghakis kuasa raja-raja dan kedudukan orang Melayu serta agama Islam.

Menurut arkib negara, perhimpunan di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, melibatkan 41 buah pertubuhan Melayu.

Ia melahirkan kongres politik Melayu pertama, iaitu Kongres Melayu seluruh Tanah Melayu, dalam usaha menentang Malayan Union.

Kongres juga menubuhkan satu jawatankuasa bagi merangka perlembagaan sebagai sebuah pertubuhan yang mempunyai pentadbiran pusat, yang kemudiannya lahir sebagai Umno pada 11 Mei 1946.

Lihat Komen
ADS