Pendakwaan tarik balik tuduhan menghasut ke atas arwah Shuhaimi
Pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan menghasut yang dihadapi oleh ADUN Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.
Pendakwaan, dalam surat bertarikh 3 Julai yang ditandatangani oleh Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be T Loth Khan berkata, mereka menerima surat perwakilan dari peguam Mat Shuhaimi dan memutuskan untuk menarik balik kes terhadapnya.
"Sebenarnya, kami sudah mempertimbangkan (untuk menarik balik) pertuduhan itu sebelum dia meninggal dunia.
"Pejabat Peguam Negara mengucapkan takziah kepada keluarga Mat Shuhaimi," katanya.
Penarikan balik saman itu telah direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Sabri Ismail manakala allahyarham Mat Shuhaimi diwakili oleh peguam Zaid Malek.
Allahyarham, yang ketika itu adalah setiausaha politik menteri besar Selangor, didakwa pada bulan Februari 2011 kerana dengan memuat-naik satu artikel yang didakwa memfitnah dalam blognya, srimuda.blogspot.com, mengenai pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Shah Alam pada 30 Dis, 2010.
Mat Shuhaimi menghembuskan nafas terakhir pada 2 Julai lalu akibat menghidap penyakit kanser limfoma.

