Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki ditembak cuba serang polis guna pisau
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 3:28 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Seorang lelaki cedera di peha kanan selepas ditembak polis berikutan cuba menyerang anggota pasukan keselamatan dengan sebilah pisau di Jalan Panchang Bedena, Sabak Bernam, dekat Shah Alam awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Nor Azmi Isa berkata dalam kejadian pukul 2.45 pagi, suspek berumur 37 tahun yang dikehendaki polis atas kes ugutan jenayah, cuba melarikan diri apabila melihat sepasukan anggota keselamatan sedang melakukan rondaan keselamatan.

"Disebabkan cemas dengan kehadiran polis ronda, suspek cuba melarikan diri menyebabkan anggota terpaksa mengejarnya sejauh 500 meter sehingga ke sebuah tempat timbang buah kelapa sawit.

“Suspek kemudian mengeluarkan pisau berukuran 25 sentimeter panjang dan cuba menyerang anggota polis terlibat dengan melibas-libas senjata tajam itu ke arah mereka. Tindakan agresif suspek menyebabkan anggota polis melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran namun lelaki itu tetap enggan berhenti menyerang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Disebabkan itu, satu lagi das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah suspek bagi tujuan mempertahankan diri anggota terlibat sebelum lelaki itu ditahan.

Beliau berkata suspek, yang juga penagih dadah, tidak bekerja dan mempunyai lima rekod kesalahan termasuk kes dadah, direman selama tujuh hari mulai hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

- Bernama

Lihat Komen
ADS