Berita Malaysiakini

Suami isteri didakwa salah guna wang pakej haji

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM104,600 milik seorang pesara Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berhubung bayaran pakej haji, tahun lepas.

Razinah Ayob, 63, dan Harun Mohd Seh, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Pasangan itu yang juga pemilik syarikat Haji Harun Seh Umrah dan Tours Sdn Bhd didakwa secara bersama-sama dengan curangnya menyalahgunakan harta milik Zahari Abdullah, 61, bagi tujuan bayaran pakej haji 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Bandar Sri Damansara, di sini, antara 2 Dis 2016 dan 9 Jun 2017 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin menawarkan jaminan masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah namun kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Nur Izzah Mohd Tahir memohon jaminan rendah atas alasan mereka sudah berusia dan keadaan kesihatan yang kurang stabil dan bergantung pada ubat-ubatan.

"Mereka juga sudah menjalankan perniagaan ini selama 20 tahun dan ini merupakan kes pertama dituduh. Saya juga mohon agar pasport mereka tidak ditahan kerana ia diperlukan untuk menjalankan perniagaan keluarga", kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Sept untuk sebutan semula kes dan mereka diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

- Bernama