Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah: Politik kaum, agama akan bantutkan negara
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 5:03 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz mengingatkan bahawa tindakan mempolitikkan kaum dan agama akan membantutkan perkembangan negara.

Bercakap di forum perniagaan di Singapura, beliau ditanya cabaran yang akan menghalang Malaysia daripada mencapai potensi sepenuhnya.

Mempolitikkan sesuatu yang tidak harus dipolitikkan, kerana ia akan menyebabkan banyak perpecahan, serpihan dan ketidakpuasan hati.

"Contohnya, mempolitikkan pendidikan, mempolitikkan kaum - semua ini tidak seharusnya dibuat. Faktor-faktor ini tidak termasuk dalam mentadbir negara," katanya dipetik portal berita Singapura, Today Online.

Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) baru-baru ini timbul semula selepas Ketua Pemuda Umno Datuk Asraf Wajdi Dusuki membantah hasrat Pakatan Harapan mengiktiraf sijil itu seperti yang dijanjikan sebelum pilihan raya.

Sementara itu, PAS pula membantah pelantikan bukan Islam memegang jawatan penting dalam perundangan negara yang menurutnya menyebabkan "keresahan" di kalangan orang Islam, serta mempersoalkan sama ada mereka yang dilantik mampu mempertahankan Islam dalam soal undang-undang.

PAS berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas, hakim kanan Richard Malanjum yang dilantik sebagai ketua hakim dan Anggota Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab berhubung perundangan.

Dalam perkembangan lain, Rafidah menafikan kebimbangan tentang hubungan Malaysia dan Singapura di bahawa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya pendapatnya tentang kenyataan Dr Mahathir berhubung Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan harga "rendah" air yang ditawarkan Malaysia kepada Singapura, Rafidah berkata laporan media seharusnya tidak terlalu mengambil serius kenyataan itu.

"Hubungan dijalin dalam tempoh berdekad. Hanya kerana satu interaksi yang salah tidak mencerminkan hubungan yang sudah kita bina selama ini.

"Apa yang anda baca di media tidak semestinya apa sebenarnya yang terjadi.

"Saya adalah orang yang paling jahat jika anda hanya menilai saya daripada media," katanya dipetik sebagai berkata."

Singapura sebelum ini berkata pihaknya belum menerima pendirian rasmi Putrajaya berhubung HSR yang kemudian ditanggapi Dr Mahathir bahawa "Singapura seharusnya sudah tahu apa yang kerajaan Malaysia mahu lakukan."

Menggulas berhubung hasrat perdana menteri menaikkan harga air, Singapura menekankan bahawa Perjanjian Air 1962 yang menggariskan air perlu dijual 3 sen untuk 1,000 gelen air perlu dihormati.

Rafidah yang merupakan antara penyokong kuat Dr Mahathir dilihat kembali dari persaraannya dalam politik bagi membantu kempen Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau pernah menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri di bawah kabinet Dr Mahathir sebelum ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS