Paling Popular
Terkini

Meskipun Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meluluskan Pakatan Harapan (HARAPAN), gabungan itu memutuskan akan menggunakan logo PKR pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis Ogos ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN berdasarkan kekuatan PKR di kawasan itu yang menang tiga penggal berturut-turut.

“HARAPAN telah memilih PKR mewakili HARAPAN sebagaimana tradisinya dan menggunakan logo PKR dalam PRK Sungai Kandis.

“Apa yang saya boleh faham logo PKR sangat dikenali di sana dan telah tiga penggal berturut-turut kita menang di sana untuk negeri Selangor kerana logo PKR agak established.

“Jadi saya rasa untuk pendekatan strategi itu nampaknya (akan) memenangkan (kita),” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada Jemaah haji di Masjid Amaniah, Batu Caves, hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika ditanya berkaitan logo yang akan digunakan pada PRK akan datang.

Pemilihan parti

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Umno juga buat pertama kali mungkin akan menggunakan lambang sendiri, berbanding BN.

Perkara itu diputuskan Umno Selangor selepas timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor mencadangkan supaya parti Melayu itu bertanding atas nama sendiri bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap Umno dalam senario politik semasa.

Pada 18 Mei lalu, ROS mengumumkan kelulusan pendaftaran HARAPAN.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Sementara itu Amirudin ketika ditanya berkaitan pemilihan parti berkata beliau masih belum memutuskan untuk bertanding mana-mana jawatan.

“Sebab masa masih ada, jadi insya-Allah saya akan buat keputusan setelah berbincang dengan kawan-kawan.

“Tapi yang pentingnya fokus utama saya adalah untuk memastikan saya mampu membina pentadbiran yang kukuh di Selangor dan ini juga bakal menentukan nasib HARAPAN pilihan raya akan datang.

“Tidak guna kita bangga dalam kemenangan parti tapi kita gagal mempertahankan kerajaan yang telah diamanahkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS