Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Pujut: Mahkamah Rayuan kekal keputusan Mahkamah Tinggi
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 5:23 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Mahkamah Rayuan yang bersidang di Kuching hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Dr Ting Tiong Choon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.

Keputusan dicapai apabila hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta Harmindar Singh Dhaliwal bersetuju menolak rayuan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Datuk Amar Asfia Awang Nasar dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh yang tiada bidang kuasa untuk memutuskan pembatalan kelayakan Dr Ting kerana faktor penyingkiran tersebut berlaku sebelum pilihan raya.

Abang Iskandar ketika membacakan penghakiman berkata DUN Sarawak bukanlah forum yang sewajarnya untuk memutuskan berkenaan keanggotaan Dr Ting mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan Speaker DUN itu telah silap mengguna pakai Perkara 17(1)(g) Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Keputusan yang dicapai oleh 70 ADUN mengundi dan menyokong usul dikemukakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Datuk Seri Wong Soon Koh semasa persidangan DUN Sarawak tahun lepas adalah terbatal dan tidak sah,” katanya.

Manakala Hakim Mary Lim Thiam Suan pula dalam penghakimannya berkata Dr Ting jelas tidak mempunyai kelayakan untuk dipilih sebagai ADUN kerana beliau telah mengambil kewarganegaraan Australia.

“Penolakan Dr Ting sebagai kewarganegaraan Australia juga tidak melayakkan beliau menjadi wakil rakyat kerana beliau telah bersumpah setia untuk menjadi warganegara tersebut,” katanya.

Pada 12 Mei tahun lalu, DUN memutuskan melalui undi majoriti untuk menolak kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut kerana beliau memegang dua kerakyatan iaitu Australia dan Malaysia.

Dr Ting mendapat kembali kedudukannya sebagai ADUN Pujut melalui keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 17 Jun tahun lepas. Mahkamah itu juga mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan bagi kerusi kawasan berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS