Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan Negeri Sembilan sokong iktiraf sijil UEC
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 5:41 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri tiada masalah menyokong pengiktirafan ke atas Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC).

"Kalau dasar kerajaan persekutuan itu baik, apa masalahnya, lagi pun sekolah tersebut juga diiktiraf oleh kerajaan. Jadi, kenapa sijil mereka tidak diiktiraf?

“Jadi, perkara ini tidak sepatutnya dijadikan isu," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Penjawat Awam 2018 di perkarangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pihak menggesa kerajaan agar tidak mengiktiraf sijil UEC kerana ia didakwa melanggar dan mengkhianati Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya diluluskan.

Aminuddin berkata sekarang ini ramai anak-anak Melayu belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara dan jika dinafikan UEC maka akhirnya anak-anak Melayu juga yang akan rugi.

"Jadi, kita kena berfikiran terbuka dengan melihat perkara ini secara menyeluruh...jangan kita melihat kepompong kita sahaja. UEC adalah benda baharu yang perlu diraikan semua pihak. Jadi, kita dalam satu keluarga besar perlu saling hormat menghormati," katanya.

Sementara itu, katanya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir meminta kerajaan supaya mengekalkan Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM) di sini.

"Saya telah mengadap baginda baru-baru ini dan menerangkan apa yang berlaku di IPGKRM dan baginda telah menitahkan agar IPGKRM dipertahankan. Kami juga akan menghantar surat kepada Menteri Pelajaran supaya menolak rancangan menutup IPGKRM ini," katanya.

Mengikut rancangan pengambilalihan IPGKRM akan dijadikan Kolej Permata Pintar yang dijangka beroperasi pada tahun 2020.

Pada pembentangan Bajet 2017, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan sembilan Institut Pendidikan Guru di seluruh negara yang tidak digunakan akan diubah menjadi politeknik dan kolej vokasional dalam usaha mengoptimumkan aset kerajaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kaunter Laman Informasi di Aras Bawah, Blok A, Wisma Negeri di sini dibuka bagi memudahkan orang ramai berurusan berkaitan Pejabat Menteri Besar mulai Isnin lalu.

Katanya kaunter itu akan dikendalikan oleh pegawai Pejabat Menteri Besar secara bergilir-gilir untuk mempastikan orang ramai termasuk golongan kurang upaya mendapat layanan istimewa.

“Kaunter di bawah itu adalah bagi memudahkan orang ramai termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan jika ada di kalangan mereka betul-betul hendak jumpa saya, tiada masalah dan mereka boleh buat temu janji.

“Jadi, jangan disalah tafsirkan saya tidak hendak berjumpa orang ramai. Saya tidak hendak orang datang serbu saya di pejabat saya di Tingkat 5, Blok B, Wisma Negeri. Dengan adanya kaunter di bawah, ia didapati lebih selesa dan teratur," katanya.

Katanya orang ramai perlu faham bahawa beliau sekarang sedang sibuk dengan tugasan sebagai Menteri Besar dan apabila keadaan mulai reda dalam sebulan dua ini, mereka boleh berjumpa beliau.

"Lepas ini kita akan adakan satu tarikh di mana orang ramai boleh berjumpa dengan saya, sama ada di Pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri atau di pejabat Dewan Undangan Negeri di Sikamat. Saya sedang runding dan susun atur perkara itu," katanya.

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Penjawat Awam 2018 berlangsung meriah dengan dihadiri lebih 1,000 orang pegawai dan kakitangan penjawat awam kerajaan negeri dan persekutuan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS