Berita Malaysiakini

HARAPAN beri ruang suburkan kebebasan media - Saifuddin

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan Pakatan Harapan menjamin akan memberi ruang untuk menyuburkan kebebasan media di negara ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Malaysia kini melalui transisi politik untuk menjadi sebuah negara demokrasi matang dan media memainkan peranan penting dalam membantu merealisasikan objektif itu.

Katanya,kerajaan hari ini juga lebih bersahaja serta bersedia untuk menerima kebebasan media.

"Wartawan tak perlu risau akan menerima panggilan daripada PMO (Pejabat Perdana Menteri) atau dari menteri-menteri lain.

"Buat lagi debat pun tak larang. Harap tak ada editor yang akan dipanggil hanya kerana gambar yang diguna kurang menarik," katanya pada Malam Wartawan Malaysia 2018 dan Penyampaian Anugerah Kewartawan Malaysia 2017 MPI-Petronas 2017 malam tadi.

Saifuddin, yang juga ketua setiausaha HARAPAN, berkata media di Malaysia juga harus sama-sama memainkan peranan dalam memberi dan meningkatkan pendidikan politik kepada rakyat negara ini.

 

Katanya, ini merupakan satu aspek penting dalam usaha mematangkan politik dan demokrasi di Malaysia.

Katanya, proses itu harus disokong dan didokong oleh seluruh rakyat Malaysia, kerana rakyat jugalah yang akan merupakan pemenang dalam sebuah negara yang mengamalkan politik demokrasi matang.

HKM MPI-Petronas 2017 menyaksikan pasukan wartawan daripada akhbar ‘ The Star’ dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai menerusi laporan mereka bertajuk ‘The Student Trafficking Trade’.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, sijil dan trofi.

Sementara itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut memenangi tiga hadiah dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil setiap seorang.

Wartawan Perkhidmatan Meja Berita Ekonomi ,Niam Seet Wei memenangi hadiah sagu hati bagi kategori Laporan Portal Berita Terbaik menerusi laporannya bertajuk ‘ Old bike shop Choo Ho Leong spurred by renewed interest in cycling’, ‘Raise tax relief to boost insurance penetration rate’ dan ‘ Bursa Malaysia concludes 2017 on GHD note’.

Wartawan Bernama Radio, Ahmad Fawzan Azmie Abdul Halil dan Nurliyana Farhah Ruslan turut memenangi hadiah sagu hati bagi kategori Laporan Radio Terbaik masing-masing menerusi laporan bertajuk ‘Ampang Park: Sayonara’ dan ‘Tapak Pembinaan: Lubang Maut’.

Sementara itu, Pengarang Urusan Kanan, ‘The Borneo Post’, Francis Chan dan ketua pengarang ‘The Edge’ Azam Aris dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Juri.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil dan trofi setiap seorang.

Sebanyak 20 kategori dipertandingkan tahun ini, antaranya, Infografik Terbaik, Kartun Editorial Terbaik, Laporan Berita Cemerlang, Laporan Radio Terbaik, Laporan Portal Berita Terbaik, Foto Esei Cemerlang dan Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.

Pertandingan anugerah MPI-Petronas 2017, anjuran Institut Kewartawanan Malaysia (MPI), menerima 349 penyertaan, berbanding 216 penyertaan tahun sebelumnya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya, tokoh wartawan Datuk A. Kadir Jasin dan Tan Sri Zainuddin Maidin, Ketua Juri Hakim Anugerah, Datuk Yong Soo Heong.

= Bernama