Berita Malaysiakini

Keluarga Soosaimanicckam dimaklumkan tentang siasatan - Penglima TLDM

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah memaklumkan kepada keluarga Pegawai Kadet Graduan (PKG) J.Soosaimanicckam mengenai usaha siasatan pasukan itu untuk mengenal pasti punca kematian mangsa, kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

“Siasatan telah dilakukan dan kita tunggu sahaja laporan itu disediakan. Saya sendiri secara peribadi berjumpa dengan keluarganya dan kita telah menyatakan (mengenai) segala usaha yang telah dilakukan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Panglima Tentera Laut, di ibunegara semalam.

Pada 19 Mei lalu, Soosaimanicckam, 27, dilaporkan mengadu sakit dada dan sesak nafas selepas menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih pada jam 12.20 tengah hari dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera di Lumut, Perak untuk rawatan lanjut.

Pelatih itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital pada jam 1.45 petang pada hari yang sama.

Semalam, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu meminta pihak TLDM melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas sekiranya terbukti ada pihak yang menyebabkan kematian pegawai kadet berkenaan.

Dalam pada itu, satu majlis serah terima tugas berlangsung di KD Sri Gombak yang menyaksikan Laksamana Madya Datuk Mohd Reza Mohd Sany dilantik menjadi Timbalan Panglima Tentera Laut yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Laksamana Muda Datuk Ir Khairuddin Khalid yang sebelum ini memangku jawatan itu. Sebelum ini, Khairuddin adalah Asisten Ketua Staf Kejuruteraan TLDM.

Majlis itu disaksikan Ahmad Kamarulzaman.

Mohd Reza, 55, lulusan Naval Command Course, Naval War College di Newport, Rhode Island, Amerika Syarikat sebelum ini adalah Panglima Angkatan Bersama sejak 30 Nov 2017.

Memulakan khidmatnya dengan TLDM pada 1 Mei 1981, Mohd Reza turut memiliki Ijazah Sarjana Sains Pertahanan dan Pengajian Strategik, Universiti Pertahanan Nasional, Islamabad, Pakistan.

- Bernama