Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid wajar buat penjelasan lanjut isu 'menjaga agama'

ULASAN | Saya melihat sekali lagi kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof menjadi perbincangan hangat sesetengah pihak termasuk Islamis.

Ucapan yang memakan hampir satu jam itu penuh dengan ucapan dasar dan polisi baru yang ingin dibawa beliau mereformasi badan pentadbiran agama terpenting di peringkat pusat itu.

Beliau ingin membenteras budaya bodek, rasuah, salah guna kuasa yang bakal mencemarkan Islam kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah badan pentadbiran Islam.

Ucapan yang perlu diberikan pujian.

Namun, masyarakat memilih untuk lebih memfokuskan kepada sedikit potongan ucapan beliau yang menyentuh isu memelihara agama.

Isunya, benar maqasid (objektif) menjaga agama itu merangkumi menjaga semua agama selain Islam?

Bukankah maqasid menjaga agama ini hanya untuk Islam saja sehinggakan disyariatkan jihad untuk mempertahankan Islam dan disyariatkan hudud riddah untuk memelihara Islam?

Namun, apabila menteri mengatakan maqasid menjaga agama tidaklah hanya menjaga Islam semata-mata, maka itu yang menimbulkan polemik.

Tidak mencela agama lain

Ramai yang bertanya, adakah begitu maqasid menjaga agama yang dimaksudkan? Atau menteri ini liberal sehingga ingin menjaga dan memelihara agama kufur!

Ramai sahabat meminta ulasan saya. Entahlah saya juga pelik kenapa saya juga yang dicari apabila ada polemik. Mungkin kerana saya selalu komen isu-isu panas maka saya menjadi sasaran apabila ada isu panas sebegini.

Setelah saya mendengar ucapan menteri yang mengelola hal ehwal agama itu, berikut ulasan saya:

1: Saya dapat simpulkan sebenarnya apa yang disampaikan oleh beliau bukanlah bermaksud mengiktiraf bahawa agama kufur itu benar. Memelihara tidak semestinya bermaksud mengiktiraf ia benar. Islam memelihara darah ahli zimmah dan membenarkan mereka beragama dengan agama yang mereka pilih walaupun tidak mengiktiraf akidah mereka. Itulah umpamanya.

2: Perlu diketahui bahawa prinsip tidak mencela agama lain, tidak memaksa orang lain untuk memeluk mana-mana agama dan tidak mengganggu penganut agama lain adalah ajaran Islam. Namun, ia bukanlah bermaksud dialog dan wacana untuk mencari agama yang benar terhenti. Bahkan itulah antara ruang dakwah untuk mengajak manusia memeluk agama Islam tanpa paksaan.

Inilah saya kira idea menteri yang dijadikan polemik oleh sebahagian pihak. Saya melihat kenyataan beliau mengenai menjaga agama itu bermaksud menjaga semua agama ialah dengan tertegaknya maqasid menjaga Islam, maka agama lain juga turut terpelihara secara tidak langsung kerana Islam tidak memaksa orang lain masuk kepada agama Islam dengan kekerasan, mengiktiraf hak beragama dan tidak membenarkan agama lain dicela dan disiksa tanpa alasan syarii.

3: Namun saya percaya mungkin ada yang berhujah bahawa adakah wajar ia dimasukkan di bawah maqasid menjaga agama?

Ingin saya tegaskan bahawa pengistilahan dan pengkelasan (pengkategorian) dalam ilmu maqasid itu bersifat ijtihadi walaupun ada kandungan isinya bersifat qatie.

Sesuatu yang pasti ialah menteri itu bukanlah orang pertama mengutarakan idea ini. Ia sebenarnya telah disebut oleh sarjana besar sebelum ini.

Ibn Asyur umpamanya menyatakan juga perkara yang hampir sama iaitu hak kebebasan beragama, tetapi beliau meletakkan idea ini di bawah tajuk maqasid hurriyyah (kebebasan). Menurut beliau Islam memelihara hak/maqasid ini.

Jamaluddin 'Atiyyah pula meletakkan idea ini di bawah maqasid berkaitan kemanusiaan.

Saya melihat Dr Jasir Audah adalah antara sarjana yang meletakkan idea ini di bawah maqasid menjaga agama. Ini kerana dengan tertegaknya maqasid menjaga Islam maka agama lain juga turut terpelihara.

4: Cuma saya yakin walaupun kita bersetuju dengan ajaran Islam yang menjaga hak orang bukan Islam, tetapi kita masih boleh berbeza pandangan tentang pengistilahan dan peletakan idea ini di bawah maqasid menjaga agama kerana seperti yang saya sebut tadi, ia isu ijtihadi.

5: Pelihara agama lain yang dimaksudkan oleh menteri bukanlah bermaksud mengukuhkan agama lain, sebaliknya hanya memelihara hak mereka supaya tidak dizalimi.

Ini jelas apabila beliau menyebut tentang keperluan orang Islam berdakwah kepada orang bukan Islam.

6: Harapan saya agar menteri dapat buat penjelasan semula idea beliau dalam isu ini dengan lebih terperinci. Ini kerana bagi saya amat penting bagi menteri menggunakan kata kunci "agama lain terpelihara secara tidak langsung" dengan terpeliharanya Islam dan "pelihara agama lain secara tidak langsung bukan bermaksud mengiktiraf agama lain sebagai benar dan haq" supaya ia tidak mengelirukan warga maya.


DR ROZAIMI RAMLE ialah pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris dan anggota Majlis Fatwa Negeri Perlis.

Tulisan ini dipetik dari Facebook beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS