Exco Melaka 'diserang' gambar wanita bogel
Selepas mencipta sejarah dengan memenangi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pengkalan Batu sebagai wakil DAP dan seterusnya dilantik menjadi exco Melaka, Norhizam Hassan Baktee semakin popular di kalangan penduduk kawasannya.
Namun, populariti itu tidak datang dengan kerenah sampingan yang kini merisaukannya. Kerenah itu berupa lambakan mesej terutama daripada kalangan wanita.
Lebih membimbangkan wakil rakyat berumur 52 tahun itu ialah apabila ada yang malah mengirim gambar dan video lucah.
"Ada wanita yang tidak dikenali yang bertanya jika saya mahu melihat mereka dalam keadaan bogel!
"Saya juga ada terima gambar dan video lucah," katanya seperti dilapor mStar.
Mengulas lanjut kerenah yang dihadapinya kini, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata beliau tetap membalas mesej yang diterimanya dengan sopan dan menjelaskan beliau telah berkahwin dan "bukan lagi muda untuk berfoya-foya".
Norhizam yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Keusahawanan dan Agro berkata beliau turut memaklumkan tentang mesej-mesej lucah yang diterimanya kepada isterinya.
"Saya bernasib baik kerana isteri memahami dan menasihatkan supaya saya terus jalankan tugas dengan baik," katanya dipetik sebagai berkata.
Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, Norhizam berjaya menebus kekalahan ayahnya, Hassan Baktee Mohd, tiga dekad lalu yang cuba memenangi kerusi DUN Pengkalan Batu (atau ketika itu dikenali sebagai Peringgit) sebagai wakil DAP.

