Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelantikan Apandi sertai MT: Hanipa jangka Umno jahanam
Diterbitkan:  Jul 14, 2018 8:08 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

Tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melantik bekas peguam negara (AG) Tan Sri Apandi Ali menganggotai barisan Majlis Tertinggi (MT) Umno 'disorak' oleh beberapa pihak, termasuk di kalangan anggota parti itu sendiri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin misalnya menganggap pelantikan Apandi membawa dua kesan kepada parti berkenaan.

Pertama katanya ia seakan-akan mengesahkan keraguan orang ramai mengenai kecenderungan Apandi terhadap Umno selama ini.

"Jika selama ini orang mungkin ragu-ragu sama ada betul atau tidak mantan AG tu orang parti itu, kini seolah-olah presiden parti tersebut cuba padamkan keraguan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan umum petang ini.

Memetik penjelasan Ahmad Zahid, Hanipa berkata pelantikan Apandi menjadi anggota MT ialah langkah pertama untuk mereka membawa perubahan terhadap Umno supaya ia terus relevan di negara ini.

Mengakui ada kebenaran terhadap usaha itu Hanipa selanjutnya bersikap sinis.

"Mungkin juga langkah pertama untuk menjahanamkan lagi parti itu," katanya.

Ahmad Zahid hari ini mengumumkan pelantikan sejumlah pemimpin Umno untuk selepas dipilih menjadi presiden baru parti itu Umno pada 30 Jun lalu.

Rakyat makin susah terima

Antara nama yang menonjol ialah Apandi yang sebelum ini gigih mempertahankan Datuk Seri Najib Razak ketika beliau diasak dengan skandal 1MDB.

Apandi kemudian digantikan oleh Tommy Thomas selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Sementara itu kritikan lebih keras terhadap keputusan Ahmad Zahid datang daripada pemimpin Umno sendiri.

Ketua Pemuda Umno Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menganggap keputusan presidennya itu menunjukkan parti terbabit gagal memanfaatkan peluang yang ada untuk menampilkan pasukan berkarisma untuk memenangi hati rakyat.

Malah katanya Umno jelas tetap terpukau dengan model dan strategi politik lama.

"Kalangan mereka yang terbukti gagal membantu parti dalam PRU14 masih dipertahan. Ini bukanlah pasukan Umno yang komited dengan agenda perubahan.

"Strategi melantik bekas peguam negara ke dalam MT Umno juga kelihatan cukup terdesak dan bersifat tangkap muat.

"Rakyat tahu peranan beliau dalam skandal terdahulu. Melantik individu tersebut bukan sahaja satu kesilapan politik, malah menzahirkan kelemahan ketara parti melahirkan bakat dalaman untuk bersaing dengan kerajaan," katanya.

Menurut Shaiful Hazizy lagi jelas kelihatan ada "dendam politik" dalam percaturan pasukan baru Ahmad Zahid.

Katanya tindakan berkenaan mengecewakan anggota parti kerana dibuat di sebalik kata-kata manis mahu mewujudkan politik berasaskan wadah kekitaan dan semangat keterangkuman.

"Maaf cakap, ini bukan pasukan yang mampu mencipta resipi kemenangan.

"Ini barisan yang sebenarnya mengheret Umno ke aras penerimaan rakyat yang lebih rendah," katanya.

Lihat Komen
ADS