Datuk Dr Shamsual Anuar Nasarah yang dilantik menjadi ketua penerangan Umno yang baru menyeru pemimpin dan anggota parti "merakyatkan Umno" dalam usaha mendekati rakyat.

Dalam kenyataannya berhubung pelantikan itu hari ini, Shamsul mengingatkan agar Umno terus menjadi parti yang "membela dan memperjuangkan" kepentingan bumiputera, Melayu dan anggota parti.

"Kita mesti terus meletakkan Umno menjadi parti utama, penting dan diharapkan oleh rakyat di negara ini.

"Percayalah Umno parti berjasa dalam negara ini. Umno adalah milik ahli, orang Melayu dan bumiputera serta rakyat yang menyokong perjuangannya.

"Pasti Umno akan terus mendengar kehendak dan suara mereka. Saya berkeyakinan selagi Umno dekat dengan rakyat, rakyat akan menyokong Umno.

"Oleh itu mari kita merakyatkan Umno," katanya yang mengaku tidak menjangka akan diberi kepercayaan itu.

Shamsul yang juga merupakan anggota parlimen Lenggong bagaimanapun menjelaskan bahawa dia belum dapat memaklumkan agenda yang akan dibawanya kerana mahu mendapat pandangan dan gambaran keseluruhan mengenai tanggungjawab barunya itu.

Jawatan ketua penerangan Umno sebelum ini disandang Tan Sri Annuar Musa yang diberikan jawatan sebagai setiausaha agung.

Annuar menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kini merupakan bendahari Umno.

Dalam kenyataan berasingan, Annuar yang berterima kasih atas pelantikannya sebagai setiausaha agung Umno yang baru menyuarakan hal yang serupa berhubung "merakyatkan perjuangan parti".

"Saya amat memahami dan menyanjung tinggi iltizam presiden Umno yang berhasrat merekayasa dan merakyatkan perjuangan parti agar Umno terus menjadi satu wadah umat dan bangsa dalam proses membina negara Malaysia yang aman, makmur, harmoni lagi sejahtera bagi semua.

"Saya juga berkongsi pendapat betapa kita perlu membina parti ini dengan membawa perubahan komprehensif dan menyeluruh sehingga ia menjadi satu landasan pilihan buat rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, kaum Bumiputera dan umat Islam di Malaysia," katanya.

Annuar yang merupakan anggota parlimen Ketereh mengakui dia belum sempat duduk berbincang "hati ke hati" dengan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum pelantikannya itu.

Namun, kata Annuar, beliau memahami komitmen Ahmad Zahid untuk bekerja sebagai satu pasukan dalam menghadapi "ujian paling getir" bagi parti mereka.

"Saya dengan reda bersetuju untuk berada di saf hadapan bersama presiden, timbalan, naib-naib, anggota Majlis Tertinggi (MT) serta ketua sayap-sayap secara bersama, memikul tugas ini demi agama, bangsa dan tanah air.

Sebagai Setiausaha Agung parti, sudah pasti saya akan bekerjasama dengan semua pihak demi kesempurnaan tugas yang diamanahkan kepada saya. Kepada Allah, saya bertawakal dan kepadaNya saya berserah dan memohon pertolongan," katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan 11 anggota Majlis Tertinggi Umno (MT) yang turut menyaksikan bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali turut berada dalam senarai itu.

Kesemu 11 MT itu akan menyertai 25 yang lain yang sebelum ini menang melalui undian bagi jawatan itu.