Parti Amanah Negara (AMANAH) mendapat kebenaran Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia untuk menangguhkan pemilihan parti - yang sepatutnya berlangsung tahun ini - ke tahun depan.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub berkata walaupun begitu mesyuarat parti di peringkat cawangan akan berjalan seperti biasa tahun ini.

"Ya, AMANAH ada membuat permohonan (tangguh pemilihan) sebab berlakunya pilihan raya umum ke-14.

"Jadi, tahun ini akan diadakan mesyuarat seperti biasa tanpa pemilihan dan tahun hadapan, mesyuarat akan diadakan bersama pemilihan," katanya kepada pemberita pada program ramah mesra bersama komuniti nelayan di Pangkalan Nelayan Ayer Baloi, di Pontian hari ini.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata AMANAH menganggap keputusan meletakkan parti mana untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam Pilihan Raya Kecil nanti tidak perlu dibincangkan.

"Pastinya itu keputusan pucuk pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan bagi AMANAH, kita tidak bincang perkara itu (siapa jadi calon) dan tak perlu pun dibincangkan. Understood (masing-masing faham)," katanya.

- Bernama