Pakatan Harapan menyerahkan nama calon speaker pada 2 Julai lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Kenyataan Liew itu dilihat bercanggah dengan laporan berhubung perkara itu termasuklah yang memetik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam kenyataan hari ini, Liew berkata nama calon speaker telah diserahkan pada 2 Julai lalu sebagai mematuhi peraturan agar nama diserahkan 14 hari sebelum persidangan parlimen kali pertama.

"Beberapa pihak membuat dakwaan tidak berasas berhubung keperluan menyerahkan nama 14 hari sebelum sidang parlimen ini dengan niat mengelirukan orang awam.

"Tiada pelanggaran undang-undang seperti yang didakwa," kata Liew.

Dr Wan Azizah pula pada 8 Julai lalu berkata PKR hanya mengadakan perjumpaan pada hari itu untuk membincangkan calon speaker dan mesyuarat peringkat tertinggi HARAPAN akan diadakan dalam masa terdekat.

Dr Wan Azizah juga berkata nama perlu dihantar "seminggu" sebelum parlimen bersidang.

Timbalan perdana menteri itu bagaimanapun kemudian mengesahkan mesyuarat HARAPAN diadakan pada 9 Julai dan nama sudah diputuskan.

Susulan itu, media kemudian melaporkan Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul merupakan calon yang dipilih HARAPAN untuk menjadi speaker.

Namun, HARAPAN selepas itu membatalkan rancangan untuk menyerahkan nama Johari selepas merujuk Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan dia melepaskan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Gurun di Kedah.

Situasi itu akan menyebabkan kerajaan Kedah lebih tergugat kerana HARAPAN kini hanya memegang 18 kerusi DUN, sementara PAS dan Umno juga memegang jumlah yang sama.

Sumber kabinet yang dipetik Malay Mail hari ini berkata situasi itu menyukarkan Johari menjadi speaker.

"Sebenarnya sudah ada satu nama tapi dia (Johari) perlu kosongkan kerusi DUN. Itu akan menyebabkan kekeliruan," kata sumber berkenaan.

HARAPAN sebelum ini dilaporkan memilih bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai calon speaker.

Mohamad Ariff semelam bagaimanapun berkata beliau belum menerima surat pelantikan sebagai speaker.

Parlimen ke-14 penggal pertama akan bersidang Isnin ini.

[Baca berita asal]