Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM sahkan bekas hakim speaker baru Dewan Rakyat

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

Ditemui pemberita selepas pertemuan dengan kerajaan Sarawak di Kuching hari ini, beliau berkata perkara itu akan diumumkan tak lama lagi.

"(Speaker baru adalah) bekas hakim," katanya.

Ketika ditanya adakah bekas hakim itu adalah Mohamad Ariff, Mahathir menjawab, "ya".

Pada 11 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan sumber berkata Mohamad Ariff mungkin dipilih selepas calon terdahulu Datuk Johari Abdul mencetuskan kontroversi ekoran kedudukannya sebagai ADUN Gurun.

Mohamad Ariff juga ketua jawatankuasa disiplin AMANAH.

Dalam reaksi segeranya, Mohamad Ariff menyuarakan rasa terima kasihnya atas pemilihan itu.

"Tentunya saya rasa berterima kasih dan rendah diri untuk dinamakan sebagai calon untuk dipilih bagi speaker Dewan Rakyat yang baru," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut biografi rasminya, Mohamad Ariff memulakan kerjaya pada 1974 sebagai pensyarah undang-undang dan seterusnya profesor madya Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya, sebelum menjadi peguam pada 1986.

Bapa kepada lima anak itu merupakan pengasas bersama firma Cheang & Ariff.

Antara 1993 hingga 1995, beliau keluar sementara daripada bidang guaman apabila menyertai Suruhanjaya Sekuriti yang baru ditubuhkan ketika itu dan menjadi pengarah pertama jabatan penyeliaan pasaran.

Masih belum pasti

Pada September 2008, beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi dan kemudian hakim Mahkamah Tinggi setahun kemudian.

Pada September 2012, beliau menjadi hakim Mahkamah Rayuan dan memegang jawatan itu selama tiga tahun sehingga persaraannya pada awal 2015.

Mohamad Ariff pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini apabila menjadi calon PAS di DUN Kota Damansara pada PRU 2004, namun tewas kepada calon Umno allayarham Datuk Mokhtar Ahmad Dahlan.

Walaupun dengan pengesahan Dr Mahathir, peranannya sebagai speaker masih belum pasti apabila sidang Dewan Rakyat bermula esok, kerana masih belum jelas sama ada HARAPAN menghantar namanya mengikut masa yang ditetapkan.

Peraturan mesyuarat memerlukan nama dihantar 14 hari sebelum Parlimen memulakan sidang.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata HARAPAN hanya memutuskan nama speaker baru pada 9 Julai, bermakna mereka gagal mematuhi syarat 14 hari tersebut.

Namun Menteri Datuk Liew Viu Keong mendakwa HARAPAN telah menghantar nama pada 2 Julai iaitu sebelum tempoh yang ditetapkan.

Lihat Komen
ADS