Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas PM kesali sokongan 'madah berhelah' pada Umno
Diterbitkan:  Jul 15, 2018 1:22 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Datuk Seri Najib Razak menasihati mana-mana anggota Umno yang enggan atau tidak berani berkorban mempertahankan pertubuhan itu supaya meninggalkan parti berkenaan dengan segera.

Beliau yang sebelum ini menjadi presiden ketujuh Umno berkata parti itu tidak memerlukan individu yang berpaling tadah, atau menunjukkan kesetiaan apabila ia menguntungkan diri sendiri.

"Kadang-kadang ada juga orang kita melaungkan kesetiaanya, tapi kesetiaan itu waktu kita berkuasa.

"Apabila kita dah tak ada kuasa, bendera Umno dipijak-pijaknya.

"Orang begini memang lebih baik dia keluar Umno. Kita hanya nak orang yang setia dan sanggup atau berani mati dalam Umno," katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian hari ini.

Kata Najib, untuk golongan yang tersebut, sokongan mereka hanya diberikan ketika parti berada di tampuk kuasa, namun ia hilang sebaik sahaja pemimpin itu jatuh.

Walaupun tidak secara jelas merujuk kepada sesiapa namun apa yang berlaku difahami terjadi terhadap dirinya kini.

Cahaya di hujung terowong

"Dalam politik, ada menyokong apabila dia dapat sesuatu, ada menyokong pada waktu kita senang tetapi ramai daripada kita lebih mementingkan apa yang kita dapat.

"Kita lebih pentingkan kelompok kita sendiri sehingga kita tak dapat apa kehendak kita. Kita sanggup belakangkan parti.

"Malah ada juga kelakuan seperti mengugut parti kita, tapi yang anehnya ia dilakukan oleh mereka yang ada jawatan dalam parti," katanya.

Najib yang juga bekas perdana menteri terpaksa melepaskan jawatan presiden Umno selepas parti itu gagal mempertahankan kuasa mereka sejak 61 tahun memerintah negara pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, 9 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Najib yang juga anggota parlimen Pekan berkata dengan apa yang berlaku itu beliau tidak hairan ada dikalangan pemimpin Umno turut sama menyerang parti dianggap penyokongnya sebagai keramat itu.

"Kalau inilah perangainya maka tak hairanlah apabila pembangkang menggasak kita, orang melihat Umno ini dalam satu keadaan di mana kita sudah lupa akan nilai tradisi perjuangan.

"Biarlah kita benar-benar ikhlas, setia dan kasih pada perjuangan Umno, barulah ada cahaya di hujung terowong," katanya.

Lihat Komen
ADS