Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Diarah ke Perlis, Khaled serah pada Zahid beri pencerahan
Diterbitkan:  Jul 15, 2018 2:00 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan kepada presidennya untuk menjelaskan rasional beliau dipilih menjadi pengerusi badan perhubungan parti itu di Perlis.

Kata Mohamed Khaled pelantikannya ke jawatan itu mengundang banyak persoalan di kalangan pimpinan Umno Perlis.

Menurutnya penjelasan itu sewajarnya dibuat secepat mungkin demi kepentingan Umno secara keseluruhan.

"Harapan saya ialah pencerahan daripada presiden ini akan segera dapat dilakukan agar tidak tertangguh lagi usaha pembaharuan Umno pascapilihan raya umum ke 14," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Hamidi mengumumkan senarai pengerusi badan perhubungan Umno negeri serta anggota lantikan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Seperti biasa pelantikan itu menarik perhatian ramai atas pelbagai sebab. Pemilihan Mohamed Khaled mengetuai Umno Perlis adalah salah satu daripadanya.

Untuk rekod Mohamed Khaled ialah bekas menteri besar Johor dan pernah dilantik sebagai pengerusi badan perhubungan Umno negeri berkenaan.

Dalam persaingan merebut jawatan naib presiden Umno pada 30 Jun lalu beliau berada di kedudukan terakhir berbanding dua pemenang lain.

Ada perancangan sendiri

Di peringkat dalaman parti Mohamed Khaled dianggap lebih berani bersuara menongkah arus dan mendedahkan pernah "diserang" kerana membangkitkan isu 1MDB.

Tempat Mohamed Khaled di Johor digantikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut Datuk Ir Hasni Mohammad.

Perlis ialah negeri terkecil di Malaysia dan mempunyai tiga kerusi parlimen dan 15 DUN saja. Bagaimanapun selepas PRU ke-14 lalu Perlis menjadi negeri terakhir membuat pelantikan menteri besar serta barisan exco negeri.

Sebelum ini badan perhubungan Umno Perlis diketuai Datuk Seri Shahidan Kassim.

PRU ke-14 lalu menyaksikan Pakatan Harapan menawan Johor tetapi gagal mengatasi BN di Perlis.

Kata Mohamed Khaled beliau menghargai kepercayaan yang diberi Ahmad Zahid untuk mengetui Umno Perlis.


Baca Kemelut BN Perlis: Cadangan pecat Azlan tak wajar - Hisham


Pada masa sama beliau meminta Umno Johor memberikan sokongan padu kepada ketua baru mereka.

"Kepada semua anggota dan pendukung Umno Johor, berikanlah kerjasama dan komitmen yang lebih baik lagi kepada Hasni.

"Saya yakin beliau mempunyai iltizam dan perancangan tersendiri bagi membawa Umno Johor menjadi lebih baik, diyakini dan dihormati.

"Saya juga berharap dengan pengumumam perlantikan jawatan utama parti seperti yang telah diumumkan oleh presiden, kita semua dapat mula bekerja dengan segera untuk membangunkan semua wibawa Umno," katanya.

Lihat Komen
ADS