Lima anggota polis berpangkat Koperal, Lans Koperal dan Sarjan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

Permohonan reman dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dan dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas (Reman) Haryatie Mohd Saini, di Seremban.

Kesemua mereka ditahan SPRM semalam antara pukul 2 petang hingga 11.40 malam dengan empat daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan selepas selesai memberi kenyataan manakala seorang lagi ditangkap di jalan besar berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Kesemua mereka didakwa meminta dan menerima RM5,000 daripada seorang lelaki yang didakwa terlibat dalam aktiviti penjualan dadah bagi tujuan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

- Bernama