Akibat kes penyelewengan kontrak projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak, beberapa buah sekolah di negeri itu mula menerima bahana apabila dijangka menghadapi masalah bekalan elektrik mulai esok.

Berdasarkan surat yang diterima Malaysiakini, subkontraktor bagi projek terbabit berkata ia perlu menghentikan bekalan diesel kerana tidak menerima pembayaran daripada kontraktor utama projek itu sejak Mac.

Antara sekolah yang terlibat ialah sekolah-sekolah di daerah Kapit, Song dan Belaga.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, dalam satu siri catatan Twitter, memaklumkan masalah itu dan berjanji akan menanganinya secepat mungkin.

"Saya dimaklumkan beberapa sekolah di Sarawak mulai bergelap kerana ketiadaan bekalan diesel.

"Perkara ini telah saya bangkitkan dalam mesyuarat pasca-kabinet Rabu lepas. Saya ingin maklumkan bahawa kebajikan guru dan murid adalah keutamaan pihak pengurusan tertinggi KPM.

"Sehingga itu saya mohon semua bersabar dan berdoa untuk keselamatan guru dan murid kita yang terlibat," katanya.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu sebelum ini dilapor telah dianugerahkan secara rundingan terus kepada Jepak Holdings Sdn Bhd yang berpangkalan di Bintulu.

Bagaimanapun syarikat itu menafikan terbabit dalam sebarang dakwaan salah laku.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan beberapa eksekutif syarikat berkenaan untuk membantu siasatan.

Turut ditahan ialah bekas pembantu kepada isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.