Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis telah menerima hampir 4,000 orang bekas anggota Umno sebagai ahli biasa parti itu sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, kata Pengerusinya Ameir Hassan.

Beliau berkata bahagian Arau dan Padang Besar masing-masing menyaksikan hampir 1,000 bekas anggota Umno telah diterima menyertai BERSATU.

“Permohonan bekas timbalan ketua Umno Bahagian Arau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang Datuk Ismail Kassim bagaimanapun ditolak kerana beliau didakwa mengkritik hebat HARAPAN menjelang PRU14.

“Kami tidak menghalang siapa sahaja yang ingin menyertai BERSATU. Jika permohonan mereka ditolak di peringkat bahagian atau negeri, mereka boleh mohon terus kepada pusat,” kata Ameir kepada media ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan ramah mesra BERSATU Perlis di kediamannya di Arau, hari ini.

Pada majlis itu beliau menyerahkan surat penerimaan kepada bekas anggota Parlimen Arau Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail sebagai anggota biasa BERSATU Arau, disaksikan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan dan timbalan ketua BERSATU Arau, Maton Din.

Sementara itu Wan Saiful yang juga penasihat khas kepada menteri pendidikan berkata mesyuarat khas berhubung penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi mereka yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan akan diadakan di Putrajaya esok.

- Bernama