Bekas perdana menteri tiba di Parlimen
PARLIMEN | Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di parlimen bagi persidangan pertama penggal baru Dewan Rakyat pagi ini.
Berpakaian serba hitam, anggota parlimen Pekan itu melambaikan tangan dan mengucapkan "selamat pagi" kepada petugas media dan kakitangan parlimen sambil melangkah masuk ke dalam dewan.
Sejurus selepas itu, penggantinya bagi jawatan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula tiba sebelum disusuli bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang juga berpakaian serba hitam.
Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 akan memulakan mesyuarat pertamanya pukul 10 pagi dengan urusan pertama yang akan diselesaikan iaitu pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Najib kemudian memberitahu wartawan bahawa beliau menerima tugas sebagai pembangkang sedia menjadi pembangkang yang berkesan.
"Saya sudah terima (jawatan sebagai pembangkang).
"Saya utamakan berkhidmat kepada rakyat dan saya mahu jadi pembangkang yang berkesan dan memainkan peranan memastikan pelaksanaan lancara demokrasi negara kita," katanya selepas istiadat mengangkat sumpah.

