Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Umno, PAS keluar dewan
Diterbitkan:  Jul 16, 2018 10:36 AM
Dikemaskini: 8:41 AM

PARLIMEN | Hanya beberapa minit selepas anggota parlimen duduk di kerusi masing-masing untuk memulakan sidang parlimen, anggota parlimen Umno dan PAS melangkah keluar dewan sebagai tanda bantahan.

Tindakan anggota parlimen pembangkang yang keluar dewan itu dipercayai berhubung cadangan pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai speaker.

Pelantikan itu dipertikaikan sebagai tidak mengikut peraturan dewan mesyuarat yang seharusnya mengikut peruntukan 4 (1) berkaitan 14 hari pemakluman kepada anggota Dewan Rakyat.

Dalam sidang media yang diadakan di luar dewan, anggota parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan berkata pihaknya kecewa berhubung perkara itu.

"Peraturan mesyuarat 41 tak dipatuhi berkenaan pelantikan speaker. Saya dah huraikan tadi bagaimana insiden-insiden yang berupa fakta yang menunjukkan tak mungkin notis tu diberikan sama ada atau sebelum 2 Julai, itu tarikh akhir (nama perlu diserahkan sebelum dewan bersidang).

"Malangnya kita kecewa sangat kita tak diberikan peluang bangkitkan usul ini kerana kita tak boleh tunggu sehingga lantik speaker.

"Sepatutnya kami dibenarkan bangkitkan peraturan mesyuarat," katanya kepada pemberita di luar dewan rakyat, hari ini.

Terdahulu, setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan pihaknya menerima surat daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan pelantikan Mohamad Ariff pada 2 Julai lalu.

Ia kemudian mendapat bantahan daripada anggota parlimen pembangkang dengan Datuk Seri Ahmad Maslan didengar menjerit "Tipu, tipu", sementara Datuk Seri Bung Mokhtar Radin pula melaungkan "Malaysia baru, tapi hari pertama sudah menipu".

Dalam keriuhan bantahan itu, Dr Mahathir kemudian mengumumkan pelantikan Mohamad Ariff sebagai speaker.

Turut kelihatan keluar Dewan adalah Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Umno-Bagan Datoh), Datuk Seri Najib Razak (Umno-Pekan), Datuk seri Abdul Hadi (PAS- Marang).

Bagaimanapun, menurut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (BERSATU-Muar) melalui kenyataan di Twitter, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau) dan bekas Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak menyertai anggota parlimen pembangkang lain yang keluar dewan.

Difahamkan, Datuk Seri Anifah Aman (Umno-Kimanis) turut tidak meninggalkan dewan.

Sementara itu Takiyuddin berkata pihaknya tetap akan mengangkat sumpah walaupun secara terpaksa kerana jika tidak berbuat demikian, mereka tidak boleh bersuara di dewan rakyat.

"Kami terpaksa angkat sumpah kerana itu keputusan setiausaha dewan bahawa pemilihan (speaker sah), kerana kalau kami tak angkat sumpah sepanjang 20 hari persidangan parlimen kami tak boleh bercakap, jadi kami tak ada pilihan," katanya.

Setiausaha Agung PAS itu turut berkata pihaknya akan bertemu Mohamad Ariff bagi mengetahui keadaan sebenar sebelum sebarang tindakan diambil berhubung perkara ini.
 

Lihat Komen
ADS