Sekumpulan pemandu teksi berkumpul di Padang Merbok, kira-kira 3 kilometer dari bangunan Parlimen sejak jam 9 pagi tadi.

Kira-kira 200 pemandu mengambil bahagian membantah operasi aplikasi perkongsian kereta, Grab Car dan mereka merancang berarak ke bangunan Parlimen untuk bertemu dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

"Grab Car perniagaan haram! Kami perlukan lunas kedaulatan undang-undang," laung hadirin yang berhimpun.

Seorang peserta yang hanya ingin dikenali sebagai 'Jazz' Rizal berkata mereka bukan mahu melawan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Kami hanya bantah keputusan menteri pengangkutan untuk benarkan Grab Car diteruskan.

"Dia telah langgar undang-undang," katanya.

Rizal (gambar) berkata himpunan hari ini tidak diketuai sesiapa, sebaliknya mereka hadir selepas seruan untuk menyertainya disebar di media sosial.

Timbalan Presiden PERSIM Kamarudin Mohd Hussain memberitahu Malaysiakini mereka sudah menyediakan suatu memorandum untuk diserahkan kepada menteri.

"Salah satu permintaan kami adalah agar kerajaan menghentikan perkhidmatan e-hailing oleh syarikat seperti GrabCar dan MyCar sehingga undang-undang baru digubal untuk mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pemandu teksi tidak berpuas hati dengan pengumuman Loke kerana ia dibuat selepas rundingan dengan wakil GrabCar dan bukannya mereka.

Rabu lalu, Loke mengumumkan pemandu perkhidmatan itu akan dikenakan standard dan peraturan yang sama seperti pemandu teksi - antaranya mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat atau Suruhanjaya Koperasi, kereta yang memenuhi piawaian tiga bintang Program Penilaian Kereta Baru Asean, dan pemeriksaan tahunan di Puspakom bagi kereta berusia tiga tahun ke atas.

Mereka diberi tempoh setahun bagi mematuhi peraturan itu.

Hadirin turut menggesa kerajaan berunding dengan mereka dalam proses membuat dasar. Pada masa ini, tiada undang-undang khusus bagi perkhidmatan e-hailing.

Terdapat kira-kira 15 pegawai polis dan 6 anggota LSF dengan perisai berdiri di hadapan Padang Merbok bagi menghalang mereka bergerak ke Parlimen.

Hadirin yan terdiri daripada pemandu teksi memakai baju dengan logo persatuan masing-masing, antaranya Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia (PERS1M), Gabungan Persatuan Berdaftar Johor Bahru (GA-PET), Persatuan Taxi India Johor Bahru (PPTIJB), and Elite Driver KL.

Selepas rundingan di antara penganjur himpunan bantahan dan pihak keselamatan, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Rudy Abdullah mengumumkan seorang wakil Kementerian Pengangkutan akan hadir untuk bertemu kumpulan pemandu teksi berkenaan.

Sementara itu, Loke (gambar) ketika ditemui di Parlimen berkata pemandu teksi bebas untuk menyuarakan bantahan mereka.

"Kerajaan baru mengamalkan demokrasi dan kebebasan. Mereka bebas untuk berdemonstrasi," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat.

Beliau berkata telah mengarahkan setiausaha politiknya untuk menerima memorandum oleh pemandu teksi, dan memberi jaminan mereka akan dilayan dengan baik.

Setiausaha politiknya tiba pada kira-kira pukul 10.50 pagi dan menerima memorandum itu. Beliau bagaimanapun terus beredar tanpa menjawab soalan daripada media.

Hadirin bersurai pada kira-kira pukul 11.10 pagi.