Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan mengapa pengisytiharan harta menteri dan timbalan menteri hanya dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak didedahkan kepada umum.

Setiausaha parti itu, A Sivarajan mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menyokong keputusan perdana menteri bahawa aset anggota kabinet hanya akan diisytiharkan kepada SPRM.

"Ini sememangnya satu kenyataan yang mengecewakan daripada bekas pembangkang dan presiden AMANAH," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Semalam, Mohamad berkata keputusan untuk tidak mengisytiharkan aset kepada umum bagi menghalang sesetengah pihak membuat kesimpulan yang salah.

Sebagai contoh, beliau berkata sekiranya seseorang itu sudah menjadi kaya sebelum menjadi anggota Parlimen atau menteri, pihak tertentu akan melihat kekayaannya disebabkan kedudukan mereka dalam kerajaan.

Bagaimanapun, Sivarajan berkata rakyat Malaysia telah berkali-kali menyaksikan agensi-agensi kerajaan berkompromi dengan kredibiliti demi kepentingan "tuan politik" mereka.

"Jadi apa gunanya membuat pengisytiharan kepada SPRM, satu lagi agensi kerajaan lain?" soal beliau.

Sivarajan berkata sesuatu harta mesti diisytiharkan dan dipantau setiap tahun dengan mengambil contoh bekas anggota parlimen Sungai Siput, Dr D Michael Jeyakumar yang mengumumkan aset beliau sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada tahun 2008 sehingga kekalahannya pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau berkata ini akan membolehkan orang ramai memantau sebarang pengumpulan kekayaan selama bertahun-tahun.

"PSM menggesa HARAPAN agar segera meminta wakil rakyat mereka untuk mengisytiharkan aset mereka jika benar-benar ikhlas mengenai agenda reformasi," katanya.