Menteri jangka RUU355 akan muncul semula di parlimen
PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menjangkakan usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menggesa Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (RUU355) akan dibawa semula.
Namun, katanya, Dewan Rakyat tidak akan membahaskan perkara itu dalam sesi persidangan kali ini.
"Ia (RUU355) akan dibawa semula. Ada banyak kementerian yang mahu mahu membawa rang undang-undang untuk meluluskan, memansuhkan atau memperkenalkan undang-undang baru.
"Kita masih mengumpulkan maklumat daripada mereka," katanya di lobi parlimen hari ini.
Liew menambah, jumlah kesemua rang undang-undang yang akan dibentangkan dalam sesi persidangan parlimen kali ini hanya akan disahkan esok.
Bagi sesi kali ini, kata Liew, beliau maklum hanya ada dua rang undang-undang untuk didebatkan - satu untuk menghapuskan GST dan satu lagi untuk memperkenalkan SST.
Rang undang-undang berkenaan mungkin hanya akan dibentangkan selepas perbahasan ke atas usul ucapan terima kasih Yang Di-Pertuan Agong, yang akan disampaikan esok.
Pentadbiran kerajaan ketika di bawah BN sebelum ini, dalam tiga persidangan, telah membenarkan Abdul Hadi untuk membentangkan usul bagi memohon kebenaran parlimen untuk membentangkan rang undang-undang peribadi untuk meluluskan RUU355.
Hanya pada kali ketiga iaitu pada April tahun lalu speaker ketika itu Tan Sri Pandikar Amin Mulia memperuntukkan masa bagi usul berkenaan untuk dibawa sekali lagi agar dibahaskan pada sesi berikutnya.
Bagaimanapun sehingga kini usul itu belum dibahaskan.

