Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan Pemborong Muslim persoal harga rokok tak turun

Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) hari ini mempersoalkan tentang harga rokok yang masih sama, meskipun kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah menjadi sifar peratus.

Penasihat MAWAR Bazeer Ahmed berkata, dalam masa tiga bulan sejak kerajaan Pakatan Harapan umum kadar GST sifar peratus, sebanyak RM96.5 juta telah dikutip oleh penjual rokok.

Jumlah itu merupakan cukai enam peratus bagi penjualan sekotak rokok.

“Keadaan ini melibatkan puluhan juta yang diperoleh oleh syarikat rokok tanpa mereka memberi balik wang itu kepada kerajaan.

“Harga rokok tak turun tapi duit lebih itu tetap dikutip tetapi tidak di bawa kepada kerajaan,” katanya pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu, Bazeer mencadangkan supaya wang yang dikutip itu disumbangkan kepada Tabung Harapan agar ia dapat dimanfaatkan.

“Duit itu salurkan pada Tabung Harapan untuk manfaat negara,” ujarnya lagi.

Selain itu pada sidang media sama, Bazeer turut mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya melaksanakan harga runcit maksimum bagi memastikan tiada penipuan dilakukan oleh peniaga.

Katanya, dengan cara itu, peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan yang dijual.

“Dengan cara ini pengguna tidak akan tertipu dengan harga jualan yang tinggi atau jualan dengan mengambil keuntungan berlebihan.

“Harga jualan barangan dan perkhidmatan di Malaysia dapat dikawal dengan mudah tanpa mengeluarkan kos yang tinggi untuk melakukan operasi,” ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS