Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes petisyen PRU14 bagi DUN Tahan didengar Sept ini

Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini menetapkan 5 September depan sebagai tarikh pendengaran bantahan awal petisyen Pilihan Raya Umum ke-14 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, yang akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bantahan itu berhubung petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Wan Amizan Wan Razak pada 18 Jun yang memohon supaya undi rosak berjumlah 229 undi disemak semula memandangkan majoriti dimenangi Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin selaku responden pertama, hanya 69 undi.

Hakim Datuk Azizah Nawawi yang menetapkan tarikh itu di dalam kamar, turut menetapkan 8 hingga 25 Oktober sebagai tarikh perbicaraan sekiranya bantahan berkenaan ditolak mahkamah.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, Peguam Ravi Neeko mewakili Wan Amizan bersama peguam Datuk Ng See Tiong, berkata pihak pempetisyen turut menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Tahan Tengku Nor Asmaliza Ku Lah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai responden kedua serta ketiga.

​​​​​Pada prosiding itu, Mohd Zakhwan diwakili Mohd Kamaruzaman A Wahab, Mohd Harris Mohan Abdullah, Saiffudin Othman dan Mohd Asaari Salleh manakala Tengku Nor Asmaliza serta SPR diwakili Sathia Umardas.

Sementara itu, Mohd Harris berkata, pihaknya telah memfailkan bantahan terhadap petisyen difailkan Wan Amizan pada 6 Julai lalu.

​​​​​"Kami mengemukakan 11 alasan supaya mahkamah menolak petisyen yang telah difailkan oleh pempetisyen," katanya.

Pada PRU14, Mohd Zakhwan yang mewakili PAS, menang dengan majoriti 69 undi selepas memperoleh 5,638 undi.

Wan Amizan, yang merupakan penyandang kerusi DUN Tahan sebelum ini, memperoleh 5,569 undi manakala calon PKR Nordin Samat hanya mendapat 945 undi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS