Kementerian Pengangkutan hari ini menjawab beberapa kerisauan berhubung pendekatan pengurangan kos bagi projek LRT3 Bandar Utama-Klang.

Minggu lalu Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan projek LRT3 akan tetap diteruskan namun dengan pengurangan kos, daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion.

Beberapa langkah diambil bagi pengurangan kos itu, antaranya menangguhkan pembinaan lima stesen dan penukaran set tren 6-gerabak kepada 3-gerabak.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pengangkutan menegaskan keperluan untuk mengurangkan stesen dan kapasiti kereta api disebabkan pengurusan Prasarana Malaysia yang mengarahkan spesifikasi melebihi keperluan dan unjuran penumpang.

Ia menyebabkan Prasarana telah meminta pembiayaan dana RM22 bilion, melebihi pembiayaan awal RM10 bilion yang diluluskan pada 2015.

Berikut adalah jawapan Kementerian Pengangkutan terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.

Soalan: Bukankah perubahan daripada 42 tren 6-koc kepada 22 tren 3-koc tidak munasabah bagi kawasan Lembah Kelang yang semakin padat?

Spesifikasi yang telah disemak semula mendapati 22 tren 3-gerabak lebih daripada mencukupi untuk menampung permintaan penumpang pada masa ini.

Di waktu puncak, unjuran bilangan maksimum penumpang bagi satu arah setiap jam adalah 6,185 pada 2034. Jumlah ini mampu ditampung 22 set 3-gerabak yang dapat membawa 6,210 penumpang satu arah setiap jam.

Selain itu, tambahan set tren 3-gerabak boleh didapatkan kelak untuk menampung penumpang selepas 2050. Ini kerana stesen boleh menampung set tren 4-gerabak.

Perancangan sistem LRT3 membolehkannya dinaiktaraf dari sela masa enam minit pada masa ini kepada sela masa dua minit, dan mampu menampung sehingga 18,630 penumpang sehala dalam sejam ketika waktu puncak, iaitu lebih kira-kira 7,000 penumpang berbanding unjuran 2050 iaitu 11,584 penumpang sehala dalam sejam.

Soalan: Bukankah set 6-gerabak lebih selesa berbanding set 3-gerabak - yang akan membuatkan penumpang berhimpit seperti di set 2-gerabak bagi LRT Kelana Jaya?

Piawaian antarabangsa menetapkan antara enam hingga lapan penumpang bagi setiap meter persegi.

Pada setiap masa, muatan penumpang akan berada bawah paras 6 penumpang bagi setiap meter persegi.

Soalan: Apakah akan ada tren yang cukup sebagai langkah persediaan ketika penyelengaraan atau masalah?

Jumlah 22 set tersebut termasuk peruntukan bagi dua set tren bawah penyelengaraan dan satu set untuk tujuan bersiap sedia menepati piawaian antarabangsa.

Pembelian seterusnya akan dibuat mengikut peruntukan yang sama.

Soalan: Adakah kerajaan hanya mahu mengurangkan kos dan mengabaikan peningkatan keperluan masa depan?

Stesen akan dibina untuk menampung set tren 4-kereta yang mampu menampung jumlah penumpang bagi 2050 dan seterusnya. Begitu juga dengan saiz platform dan concourse.

Stesen perlu direka untuk menampung permintaan sebenar penumpang, bukannya bagi memenuhi tuntutan yang tidak realistik yang mengakibatkan peningkatan kos yang mendadak.

Soalan: Mengapa bilangan stesen dikurangkan?

Stesen-stesen provisional ialah Lien Hoe, Temasya, Persiaran Hishamuddin, Sirim, Bukit Raja dan Bandar Botanic. Bagi semua stesen ini, jumlah unjuran penumpang bawah para 1,500 sehari pada 2020.

Bagaimanapun, stesen-stesen ini akan dibina secara progresif apabila ada pertambahan penumpang dan permintaan.

Di samping itu, reka bentuk semula dan kemudahan stesen yang disediakan akan dilaksanakan berdasarkan standard stesen LRT sedia ada bagi aliran Kelana Jaya.

Ia lebih daripada mencukupi untuk menampung jumlah penumpang yang diunjurkan.