Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyelar Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tidak menyertai rakan-rakan separtinya keluar Dewan Rakyat semalam sebagai tidak menghormati Umno.

Selaran itu dibuat Tajuddin terhadap Khairy yang menegaskan agar anggota parlimen menghormati Dewan Rakyat dan menyifatkan tindakan keluar dari dewan untuk menyatakan bantahan sebagai tidak betul.

Jelas Khairuddin, sebagai anggota parti, Khairy boleh mempunyai pendapat peribadi berhubung isu tertentu namun perlu mematuhi keputusan parti dan bukannya keputusan sendiri.

"Itu peraturan menjadi anggota parti dan dia perlu bekerja sebagai satu pasukan.

"Dia tidak seharusnya menunjukkan sikap tidak hormat kepada keputusan parti.

"Kalau tindakan itu adalah kesilapannya kerana dia orang muda yang kadang-kadang mengikut emosi dan ego, tidak apa.

"Tapi jangan buat lagi. Kalau dia terus buat tindakan seperti itu, parti tidak akan bertoleransi terhadapnya," katanya kepada Malaysiakini.

Kekecohan terjadi pada hari pembukaan Dewan Rakyat penggal ke-14 semalam selepas anggota parlimen BN dan PAS mempertikaikan pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai speaker yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Pembangkang mempersoalkan bahawa nama Mohamad Ariff tidak diserahkan 14 hari sebelum parlimen bersidang seperti yang ditetapkan dalam peruntukan 4(1) peraturan Dewan Rakyat.

Selain Khairy, Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman juga tidak menyertai bantahan keluar dewan itu.

Tindakan Khairy mendapat reaksi pelbagai daripada pengguna media sosial yang sesetengah mempersendakannya, sementara yang lain memujinya sebagai bersikap profesional.

"Apa benda betul yang dia (Khairy) buat? Apa benda salah yang kami buat?

"Kenapa dia perlu dipuji sedangkan apa yang dia buat salah. Saya nasihatkan dia agar jangan buat lagi," kata Tajuddin.

[Baca berita asal]