Khairy akan usul GST kekal tapi pada kadar lebih rendah
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan supaya tidak perlu memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi sebaliknya menurunkan kadar peratusannnya.
Bercakap kepada wartawan ketika mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam istiadat pembukaan penggal pertama Parlimen Ke-14 hari ini, beliau berkata tidak ada sebab bagi memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Bagi saya, GST lebih telus dan efisien berbanding SST.
“Saya akan memberi perincian mengenainya pada sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong nanti. Bagi saya kerajaan tidak perlu mansuhkan GST dan gantikannya dengan SST.
“Pada peringkat ini, saya fikir, kerajaan hanya perlu menurunkan kadar peratusannya. Saya akan menyentuh lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya di lobi Parlimen.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan terus mengemukakan fakta-fakta berkenaan GST yang disifatkannya lebih diyakini, telus dan efisien berbanding SST.
"Saya dapat lihat reaksi umum yang kecewa bahawa harga barangan sebenarnya tidak turun walaupun selepas GST telah dikadar sifarkan.
“Umumnya harga barangan biasa ada yang naik, jadi impak dijanjikan dalam manifesto PH untuk kurangkan kos sara hidup tidak tercapai," kata bekas perdana menteri itu.
Najib berkata rakyat semakin bimbang dan curiga dengan langkah pelaksanaan semula SST kerana dijangka kebanyakan harga akan naik sekurang-kurangnya 10 peratus bagi barangan dan enam peratus bagi perkhidmatan.
Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata pembangkang mengambil maklum segala nasihat termasuk apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong terutama agar anggota Dewan menggalas tugas dengan amanah, jujur serta dedikasi.
"Kami selaku pembangkang, tidak kira daripada parti mana... yang penting ialah suara rakyat diwakili. Kami akan lakukan yang terbaik dan berikan komitmen penuh untuk memastikan aspirasi setiap rakyat Malaysia untuk mempunyai masa depan lebih baik, direalisasikan,” katanya.
Kerajaan mencadangkan kadar 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan di bawah SST yang akan diperkenalkan semula pada 1 Sept depan.
Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Rang Undang-undang (RUU) SST dijangka dibentangkan di Parlimen pada Ogos ini bagi menggantikan cukai GST dengan pengenalan semula SST dijangka menyumbang RM4 bilion kepada hasil kerajaan.
Lim berkata, di bawah akta yang dicadangkan itu, cukai jualan akan dikenakan sebanyak 10 peratus sementara cukai perkhidmatan akan dikenakan sebanyak enam peratus.

