Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salahuddin: AMANAH terima pelantikan Raja Kamarul sebagai senator

Parti Amanah Negara (AMANAH) menerima pelantikan pengerusi Terengganu mereka Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai senator, kata timbalan presidennya, Datuk Salahuddin Ayub.

"Pelantikan senator adalah hak Perdana Menteri Tun Dr mahathir Mohamad dengan persetujuan Yang Di-Pertuan Agong," katanya kepada Malaysiakini.

AMANAH dan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) menyerahkan senarai calon senator kepada Dr Mahathir, namun kata Salahuddin, beliau tidak tahu nama siapa yang diserahkan presiden parti mereka Mohmad Sabu.

Raja Kamarul dan tujuh yang lain hari ini mengangkat sumpah sebagai senator dan akan mengisi jawatan di kementerian dan beberapa jawatan timbalan menteri.

Terdapat spekulasi mengatakan AMANAH sebelum ini mencalonkan naib presidennya Husam Musa.

Sumber AMANAH turut memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu mencalonkan Husam bagi jawatan senator.

Ditanya sama ada Husam dan penyokongnya akan tidak senang dengan keputusan itu, Salahuddin berkata: "Perlu tanya dia sendiri, kami sudah lakukan tugas kami."

Selain Raja Kamarul, bekas anggota parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy antara yang turut dilantik sebagai senator dan dijangka mengangkat sumpah petang ini.

Tiga yang lain adalah Ismail Ibrahim, Mohd Radzi Md Jidin dan Marzuki Yahya, yang akan turut mengisi kuota kerajaan persekutuan bagi jawatan itu.

Dua calon senator yang lain dicalonkan melalui kuota kerajaan negeri.

Mereka ialah Hussain Awang, yang dicalonkan oleh dewan undangan negeri (DUN) Terengganu dan Asmak Husin yang dipilih oleh DUN Kelantan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS