Tan Sri S Vigneswaran patut meletakkan salah satu jawatannya sama ada Yang Dipertua Dewan Negara atau presiden MIC.

“Sudah menjadi konvensyen untuk lantikan politik meletakkan jawatan sebaik sahaja kerajaan baru ditubuhkan selepas pilihan raya umum.

“Ini akan membolehkan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan melantik calon pilihannya.

“Jika beliau berkeras hendakkan kerusi speaker, beliau patut, seperti ditunjukkan oleh speaker Dewan Rakyat, meletakkan jawatan dalam MIC,” kata anggota parlimen DAP Lim Lip Eng.

Bekas hakim mahkamah rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof awal bulan ini meletakkan kesemua jawatannya dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) susulan pelantikannya sebagai speaker Dewan Rakyat.

Vigneswaran menang tanpa bertanding jawatan presiden MIC baru-baru ini.

“Presiden MIC boleh mendabik dada dan berkata tidak memihak, tetapi kita semua tahu di mana kecenderungan dan kesetiaannya,” katanya.

Vigneswaran dilantik sebagai speaker Dewan Negara pada 26 April 2016 ketika pentadbiran kerajaan BN.