Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V semasa merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 hari ini selari dengan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

Anggota Parlimen Pulai itu berkata titah Seri Paduka yang menekankan mengenai soal integriti dalam pengurusan kerajaan sememangnya menjadi keutamaan dan bertepatan dengan politik baharu yang dibawa kerajaan.

“Jika integriti gagal dilaksanakan kerajaan ini tidak akan bertahan lama, kerana rakyat mahu integriti ini dikembalikan dalam kerajaan dengan pentadbiran menjunjung tinggi integriti dan saya juga akan menjunjung tinggi perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat itu di sini.

Dalam titah ucapan baginda, Sultan Muhammad V antara lain mengalu-alukan langkah kerajaan meningkatkan integriti, tadbir urus dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pula berkata titah Yang di-Pertuan Agong yang menyokong usaha kerajaan mendedahkan kedudukan sebenar kewangan negara menunjukkan bahawa baginda begitu menitikberatkan perkara itu.

“Ia amat dititikberatkan oleh baginda kerana memberi gambaran sebenar kepada masyarakat luar mengenai kedudukan kewangan negara yang sebenar selain telus dalam mengurus kewangan negara.

“Ketelusan dan dasar keterbukaan ini mampu menarik keyakinan pelabur luar untuk melabur ke negara ini,” katanya.

Anggota Parlimen Seremban itu turut menyokong titah Sultan Muhammad V mengenai kepentingan menjaga keharmonian kaum bagi mencapai masa depan yang lebih baik dan menyifatkan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini merupakan satu kekuatan yang harus diraikan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan yang juga Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong bahawa semua parti politik perlu mencapai kata sepakat dalam meningkatkan pembangunan negara.

“Ini bermaksud parti-parti politik dan golongan akademik yang lain juga perlu saling bekerjasama dalam mencapai matlamat tersebut. Masa untuk berpolitik sudah tamat, masa untuk bekerja bermula. Kita hendaklah cari titik pertemuan sesama parti yang pelbagai ini agar dapat bersama-sama membangunkan negara,” katanya.

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata kerajaan akan memberi tumpuan terhadap saranan Sultan Muhammad V yang mahu beban hidup rakyat dikurangkan serta membendung gejala sosial

Anggota Parlimen Shah Alam itu berkata sebagai sebuah kerajaan yang baharu ia mungkin akan berdepan cabaran tertentu dalam melaksanakan tanggungjawab, namun perkara itu perlu ditangani sebaik mungkin.

“Satu amanah yang besar yang perlu kita galas sebaik mungkin, tiada istilah cuti buat kami dan saya rasa dalam tempoh dua minggu sebagai menteri memang saya telah melihat beberapa persoalan yang perlu diberikan keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, titah Sultan Muhammad V padat dengan saranan untuk semua rakyat bersama-sama membina kecemerlangan negara Malaysia di peringkat nasional dan juga antarbangsa.

Katanya, titah baginda supaya para anggota Parlimen bersidang secara bertamadun juga penting dan perlu diamati oleh semua anggota Parlimen.

“Walaupun ringkas, ia padat dan mencakupi semua aspek termasuk isu kaum apabila baginda mahu perpaduan kaum di negara ini terus dipelihara,” kata Anggota Parit Buntar itu.

- Bernama