Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib sangkal Guan Eng: Mana ada fail tersembunyi LRT3
Diterbitkan:  Jul 17, 2018 6:00 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

EKSKLUSIF | Datuk Seri Najib Razak menyangkal kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa wujudnya "fail tersembunyi" yang menunjukkan projek LRT3 sebagai "1MDB mini".

Bercakap kepada Malaysiakini, bekas perdana menteri itu berkata projek itu tidak menelan belanja RM31.65 bilion seperti didakwa.

Beliau membangkitkan kenyataan Lim yang mengakui surat Prasarana berhubung tambahan RM22 bilion berbentuk jaminan kerajaan bagi projek itu yang hanya ditulis pada 30 Mac 2018.

Katanya, permintaan tersebut tidak dilayan oleh kementerian kewangan pada masa itu.

"Tiada kelulusan diberikan dan permintaan mereka ditolak. Apabila agensi memohon peruntukan, ia tidak bermakna kerajaan akan menerimanya.

"Malah lebih banyak yang kita tolak berbanding terima," katanya.

Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata lagi, ketika surat itu diterima, ia sudah begitu hampir dengan PRU.

Maka, katanya, mustahil untuk kerajaan ketika itu memberi kelulusan kerana ia perlu dipertimbangkan dan kemudian diluluskan majlis ekonomi, selepas itu baru ke kementerian kewangan.

"Tiada kelulusan diberikan. Noktah.

"Tiada kontrak bernilai RM15 bilion atau RM31 bilion yang ditandatangani. Malah surat yang meminta tambahan RM22 bilion itu tak pernah sampai kepada saya, sedangkan saya adalah menteri kewangan pada masa itu.

"Memandangkan cerita dongeng RM31.65 bilion ini tidak diluluskan, bagaimana menteri kewangan sekarang boleh mendakwa ia merupakan satu skandal atau jumlah itu akan membataskan (kemampuan) membuat projek lain, atau untuk Pakatan Harapan menunaikan janji manifesto mereka?

"Apa fail tersembunyi LRT3 yang diperkatakannya?" soal Najib.

Tunjuk kontrak atau jaminan tambahan

Anggota parlimen Pekan itu berkata, mustahil pentadbirannya akan meluluskan kenaikan kos tiga kali ganda itu kerana projek itu sudah diluluskan berdasarkan kos RM9 bilion yang diumumkan.

"Anda boleh rujuk laporan media sebelumnya. Pada 2015, Prasarana sendiri memberi jaminan kepada orang ramai yang mereka akan melaksanakannya dengan perbelanjaan RM9 bilion," katanya lagi.

Najib berkata, media sepatutnya bertanya kepada Lim mengapa kos RM9 bilion sudah meningkat kepada RM16.6 bilion walaupun dengan pengurangan stesen dan pertukaran tren.

"Dalam Malaysia baru, apakah RM16.6 bilion dikira lebih kecil berbanding RM9 bilion?

"Adakah sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) untuk menyalahkan saya atas semua perkara, atau setiap kali mereka gagal menunaikan janji manifesto?" soal Najib lagi.

Lihat Komen
ADS