Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pelantikan Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dapat memantapkan fungsi teras agensi itu ke arah memenuhi matlamat memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah DBP Datuk Abdul Adzis Abas berkata DBP yakin pelantikan Mohamed Hatta dapat membantu kepimpinan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan malah di peringkat serantau dan global melalui pelan Dekad Bahasa Kebangsaan.

“Pelantikan itu dapat mempergiatkan lagi Kempen Membaca Kebangsaan sejajar hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia dalam tempoh dua tahun ini seterusnya menjayakan Dekad Membaca Nasional pada tahun 2020 hingga 2030,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Hatta, 66, seorang ahli akademik sejak 1984 telah berkhidmat di tiga universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) dan Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya (UIM).

Beliau aktif dalam bidang penulisan buku, makalah dan artikel serta kertas saintifiknya diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, antaranya mengenai psikiatri, perubatan Islam, pengembaraan kemanusiaan dan komentar sosiopolitik.

Menggantikan Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar yang memegang jawatan itu sejak 2012, pelantikan Mohamed Hatta berkuat kuasa 9 Julai 2018 hingga 30 Jun 2021.

- Bernama

Lihat Komen
ADS