Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chin Tong tak kisah digelar 'menteri pintu belakang'

Timbalan menteri pertahanan baru Liew Chin Tong tak ambil kisah kritikan yang ditujukan terhadapnya ekoran dilantik melalui "pintu belakang".

Ketika ditanya tentang hal itu selepas acara angkat sumpah, Liew berkata mereka yang tak berpuas hati bebas untuk berkata apa saja.

"Mereka boleh kata apa saja. Saya tak menang (kerusi parlimen) kerana bertanding di kawasan yang sukar. Apa yang berlaku pada 9 Mei, semua pihak memainkan peranan," katanya ketika ditemui di Istana Negara.

Ditanya sama ada beliau merasakan dirinya seperti "menteri pintu belakang", ahli strategi DAP itu mengulang kembali kenyataannya berhubung Dewan Negara sebagai medan penting, dan setiap orang ada peranan masing-masing.

Ini kerana Pakatan Harapan (HARAPAN) merupakan minoriti di Dewan Negara.

Liew sebelum ini pernah menyindir Datuk Chong Sin Woon ketika ketua pemuda MCA itu dilantik sebagai senator dan kemudiannya timbalan menteri pada 2014.

Ketika itu, Liew menggelar Chong sebagai "menteri pintu belakang" kerana Chong tidak bertanding ketika PRU ke-13.

Pada PRU ke-14, Liew tewas kepada Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dalam usahanya merampas kerusi parlimen Ayer Hitam - kubu kuat parti komponen BN itu.

Liew tewas hanya dengan perbezaan 303 undi. Beliau kemudian memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan itu.

Beliau berkata telah tahu tentang rancangan untuk melantiknya ke jawatan itu sebulan lalu.

Namun, katanya lagi, beliau memerlukan sedikit masa untuk meneliti portfolionya sebelum mengulas sebarang isu berkaitan pertahanan.

Beliau juga menyangkal tanggapan pelantikannya itu bertujuan meningkatkan kemasukan orang bukan Melayu dalam angkatan tentera. "Saya adalah warga Malaysia," tegasnya.

Tidak jelas berapakah jumlah anggota tentera bukan Melayu, tetapi bekas Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tahun lalu berkata beliau berharap dapat meningkatkan penyertaan semua kaum sebanyak 10 peratus setiap tahun.

Lihat Komen
ADS