Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas ditimpa bumbung kilang perabot dalam satu kejadian ribut di Jalan Gunung Keriang di Alor Setar petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa yang maut ialah Johari Zakaria, 60, dari Kampung Padang Lalang manakala identiti yang cedera parah belum diketahui.

Katanya, kejadian berlaku kira- kira pukul 4.53 petang ketika mangsa berada di dalam kilang berkenaan.

"Angin kuat dipercayai punca bumbung runtuh lalu menghempap mangsa yang maut ditempat kejadian manakala seorang lagi parah," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah ( HSB) untuk bedah siasat, manakala yang cedera parah dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

Nahas di LPT

Sementara itu di Temerloh dua maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 132.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat berhampiran Temerloh semalam.

Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata kemalangan berlaku lebih kurang jam 8 malam itu melibatkan sebuah treler, Perodua Myvi, Proton Saga dan sebuah SUV Toyota Fortuner dari arah yang sama.

Mangsa yang maut ialah penumpang Myvi Nur Rashila Rosdan, 22, beralamat di Sungai Parit Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak dan pemandu Toyota Fortuner Low Kim Boon, 65, dari Taman Bukit Istana, Kuantan.

"Mangsa yang cedera ialah penumpang dan pemandu kereta Proton Saga iaitu seorang lelaki dan tiga wanita dewasa. Bagaimanapun pemandu dan pembantu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Identiti mangsa yang cedera sehingga kini masih belum diperoleh.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk dibedah siasat,” katanya.

- Bernama