PARLIMEN | Kerajaan di bawah pentadbiran sebelum ini gagal mendedahkan kesemua kos tersembunyi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Banyak kos tersembunyi yang tidak didedahkan oleh kerajaan sebelum ini, maka kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bertanggungjawab untuk mendedahkan seluruh kos pembinaan projek berkenaan," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Azmin berkata demikian sebagai menjawab soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang mempersoalkan perubahan ketara kos projek HSR.

Wee bertanya kenapa kos HSR lebih RM110 bilion sedangkan ketika diumumkan sebelum ini hanya dalam anggaran RM55 bilion sehingga RM74 bilion.

"Saya terkejut apabila kos itu separuh (daripada jumlah) yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng," kata Wee yang juga merupakan timbalan presiden MCA.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata dia akan mengetuai lawatan ke Singapura bagi mengadakan perbincangan untuk mencapai persetujuan dengan kerajaan Singapura berhubung projek itu.

"Kita akan lihat di mana kemampuan kerajaan untuk biayai projek ini. Sekiranya projek ini tidak dapat dilaksanakan dalam suasana ekonomi hari ini, maka kerajaan akan ambil pendirian untuk bincang dengan kerajaan Singapura bagi memastikan semua terma-terma dalam perjanjian mesti dipatuhi," katanya.

[Berita lanjut menyusul]