Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lanskap politik rapatkan Umno, PAS - Annuar Musa

Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata, perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadikan Umno dan PAS kini semakin rapat.

Beliau berkata Umno sedia bekerjasama dengan parti Islam itu sekiranya terdapat isu yang boleh dibincangkan.

“Kita kerjasama melalui kes-kes atas dasar taawun, landskap politik baru membantu kita (kerjasama) lebih rapat sesama sendiri.

"Yang akan datang mungkin pilihan raya kecil (PRK) (Sungai Kandis). Buat masa ini jika ada isu, kita akan duduk dan bincang.

"Kadangkala kita beri pendapat berbeza, setuju untuk tidak bersetuju, kadangkala kita ada persetujuan bersama," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengatakan parti itu akan berbincang dengan PAS untuk meletakkan hanya satu calon pada PRK di Sungai Kandis.


Baca: Zahid: Umno, PAS akan bincang letak hanya satu calon PRK


Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan hanya akan bekerjasama tetapi tidak akan bergabung dengan Umno.

Terdahulu Annuar ditanya mengenai kerjasama antara kedua-dua parti itu selepas bertindak bersama keluar dewan ketika majlis pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yunos sebagai Speaker Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Ketika itu hampir semua wakil BN dan PAS - kecuali Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Anifah Aman – keluar dewan.

Annuar turut berkata, sehari sebelum pelantikan itu, lima parti termasuk Umno, PAS, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MIC dan MCA mengadakan pertemuan bagi membincangkan langkah-langkah yang akan diambil sekiranya tidak diberikan peluang bercakap ketika pelantikan speaker.

“Kita tak putuskan untuk bantah pelantikan dan boikot, tapi kalau tak diberi peluang bercakap kita akan keluar sebentar bertemu media dan masuk semula,” katanya.

Setiausaha Agung Umno itu turut berkata pihaknya tidak terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan bersama PAS kerana ‘perjalanannya masing panjang’.

“Kita tak terburu-buru, perjalanannya masing panjang, yang penting kita bersikap terbuka dengan pembangkang hatta kerajaan, pihak dalam kerajaan termasuk BERSATU, parti minoriti perlukan sokongan kita, kita akan sokong kalau benda tu baik untuk rakyat,” katanya.

Lihat Komen
ADS