'Azmin ada hak bercakap tapi Umno pilih Zahid'
Umno telah membuat keputusan untuk melantik presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat, kata Setiausaha Agung parti itu, Tan Sri Annuar.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sindiran Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dalam sidang Dewan Rakyat hari ini yang mengatakan Datuk Seri Najib Razak lebih layak mengetuai pembangkang.
Menurut Annuar, pemilihan Zahid dibuat secara konsensus dan tidak berhasrat menggantikannya dengan bekas Perdana Menteri itu.
"Kita dah buat keputusan, pilih Zahid sebagai ketua pembangkang.
"Azmin ada hak bercakap, semua boleh bagi cadangan tapi kita dah buat keputusan melalui konsensus lantik Zahid," katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Azmin pada persidangan Dewan Rakyat mengatakan Najib lebih layak menjadi ketua pembangkang berbanding Zahid.
“Saya kira Pekan lagi layak jadi ketua pembangkang,” usiknya semasa sesi soal jawab.
Azmin berkata demikian selepas Zahid membenarkan Najib, bertanya soalan tambahan bagi pihaknya berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Situasi itu jarang berlaku dalam sidang Dewan Rakyat.
Sebelum itu, Dewan mengumumkan Zahid sebagai ketua pembangkang.

