Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'HARAPAN perlu mengaku jika tak dapat penuhi manifesto'

Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Wan Saiful Wan Jan bersetuju dengan kenyataan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) hanyalah panduan.

Bagaimanapun, kata Wan Saiful, ia bukan alasan untuk tidak melaksanakan perkara yang termaktub dalam Buku Harapan.

Sebagai salah seorang penulis manifesto HARAPAN, Wan Saiful memberitahu tidak semua ‘janji-janji’ yang ditulis itu mudah untuk dilaksanakan.

Namun, katanya, kerajaan HARAPAN tetap berusaha untuk memastikan segala janji itu dapat ditunaikan.

“Saya amat bersetuju dengan pandangan (Dr Mahathir) itu. Manifesto adalah panduan secara umum ke mana kita nak pergi.

"Dengan kekangan yang ada, saya sendiri sebagai penulis terfikir bahawa benda ini (janji-janji) susah sebab tak ada maklumat tentang apa yang boleh buat dan tak boleh buat.

"Apa yang disebut Tun (Dr Mahathir) itu penting untuk kita terapkan pemahaman kepada masyarakat bahawa dokumen ini panduan bagi kita.

"Mana yang boleh laksana kita boleh laksana, mana yang mencabar untuk dilaksanakan kita kena usaha, mana yang tak boleh laksanakan kita kena mengaku, inilah realitinya,” katanya.

Wan Saiful berkata demikian dalam seminar anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) bertajuk Buku Harapan: Satu Dokumentasi Penyediaan Sebuah Manifesto di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Terdahulu, beliau disoal hadirin yang bertanya tentang kenyataan perdana menteri yang menyifatkan bahawa manifesto bukan 'kitab suci'.

Selain itu, ketika ditemui pemberita bagi mengulas perkara berkenaan, Wan Saiful yang kini menjawat jawatan penasihat khas kepada menteri pendidikan menjelaskan bahawa HARAPAN akan tetap berusaha untuk melaksanakan semua janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

Tetapi sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan, Wan Saiful berkata, pihak kerajaan HARAPAN perlu mengakuinya.

“Seboleh-bolehnya kita semua kena laksanakan, usaha. Jangan jadikan perfection as the enemy of good.

“Untuk selesaikan 100 peratus ia memang matlamat tetapi kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Paling penting ialah, kita kena ada komitmen untuk laksanakan dan itu yang kita sedang lihat sekarang.

“Di waktu yang sama, kalau tak boleh buat kita kena beritahu rakyat apa yang kita tak boleh buat,” ujar pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu lagi.

Isnin lalu Dr Mahathir yang juga perdana menteri mengingatkan bahawa manifesto HARAPAN "bukan kitab suci" yang wajib dipatuhi sebaliknya ia hanyalah panduan.

Menurut Dr Mahathir, pihaknya perlu berfikiran praktikal dalam melaksanakan sesuatu perkara dan adakalanya ia menyebabkan manifesto mereka tidak dapat dipatuhi.

Beza janji 100 hari, 5 tahun

Sementara itu, bercakap mengenai pelantikan speaker Dewan Rakyat, Wan Saiful berkata bahawa rakyat perlu membezakan manifesto yang perlu dilaksanakan dalam masa 100 hari serta lima tahun.

Katanya, dalam isu lantikan speaker, kerajaan HARAPAN perlu melakukan reformasi parlimen terlebih dahulu sebelum melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

"Contohnya pelantikan speaker, ada orang persoalkan janji HARAPAN untuk lantik di kalangan ahli dewan (rakyat). Speaker sekarang bukan ahli dewan. Ini bukan dalam janji 100 hari.

"Untuk membetulkan institusi parlimen, kita perlu orang yang macam itu (speaker sekarang). Bila parlimen dah bersedia dengan budaya parlimen seperti orang tidak menjerit, keluar dewan.

"Bila dah betul semua, maka baru speaker di kalangan ahli dewan yang lebih matang boleh dilantik. Sebelum itu perlu orang luar dulu," ujarnya.

Selain itu, mengulas mengenai soalan hadirin yang mempersoalkan sama ada melantik peguam negara dan ketua hakim daripada bukan Melayu dan Islam merupakan sebahagian daripada 'semangat' manifesto HARAPAN, beliau menafikannya.

Jelas Wan Saiful, apa yang penting bagi kerajaan HARAPAN ialah melantik orang yang benar-benar layak bagi jawatan tersebut.

"Semangat bagi manifesto ialah untuk mencari orang yang tepat dengan jawatan itu.

"Mungkin lantikan itu mengejutkan sistem yang ada tetapi kadang kala kejutan terhadap sistem diperlukan untuk pembaharuan terhadap badan tersebut," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS