PARLIMEN | Menteri Kewangan Lim Guan Eng bersetuju untuk meneliti keperluan meminda undang-undang bagi memastikan peruntukan kerajaan persekutuan diagihkan secara saksama kepada setiap negeri.

"Kerajaan persekutuan rela mempertimbangkan cadangan berkenaan," katanya dalam sesi soal jawab di parlimen hari ini.

Lim berkata demikian sebagai menjawab Datuk Seri Mukhriz Mahathir (BERSATU-Jerlun) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat mengkaji semula undang-undang yang ada di antaranya digubal pada 1960an bagi memastikan layanan adil kepada semua negeri dalam isu agihan peruntukan kerajaan persekutuan.

Menurutnya, Pakatan Harapan (HARAPAN) menyatakan dalam manifesto untuk memberi layanan adil kepada semua negeri.

"Kerajaan persekutuan akan terus memperbaiki hubungan dengan semua kerajaan negeri berhubung peruntukan.

"Semua peruntukan dan bantuan diberikan melalui undang-undang, Perlembagaan Persekutuan, Majlis Kewangan Negara dan kabinet, akan diteruskan," kata Lim.

Bagaimanapun, kata Lim, bantuan itu bergantung kepada status kewangan kerajaan persekutuan.

"Kerajaan persekutuan akan mencari jalan untuk meningkatkan status kewangan negeri yang kurang mendapat peruntukan.

"Kami cuma harap kerajaan negeri sanggup bersama-sama kami dan memberi kami masa untuk memulihkan keadaan fiskal," katanya.

Lim turut menggesa agar kerajaan negeri tidak hanya bergantung dengan dana daripada kerajaan persekutuan.

"Kita mahu lihat kerajaan-kerajaan negeri memperbaiki dan mengamalkan pentadbiran yang berkesan, bertanggungjawab dan telus," katanya.

[Baca berita asal]