Calon anak tempatan menjadi pilihan utama pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos depan.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata masyarakat di situ lebih senang jika mana-mana parti yang bertanding meletakkan calon orang tempatan, tidak kira lelaki atau wanita, kerana ia dilihat dapat memberikan 'sentuhan peribadi' dalam menyantuni kehendak rakyat.

Peniaga gerai makan, Norzakillah Yusuf, 51, berpendapat calon wakil rakyat bukan anak tempatan mungkin akan mewujudkan jurang dalam memahami kehendak penduduk berbanding calon tempatan yang sememangnya mengenali kemahuan serta asam garam masyarakat di situ.

"Kalau wakil rakyat tempatan, senang rakyat nak jumpa dan saya yakin individu itu mudah memahami masalah di sini, kalau orang lain belum tentu faham. Kita tak mahu pemimpin yang hanya muncul pada pilihan raya saja," katanya kepada Bernama ketika ditemui, di Klang hari ini.

Turut sependapat dengan beliau adalah Mohd Ali Hanafiah Kamaruddin, 45, yang menyatakan pemilihan calon tempatan itu juga diharap mampu menjadi wakil rakyat untuk semua dan bukan tertumpu pada kaum tertentu semata-mata.

Seorang kakitangan awam, Roszita Mohd Tauhid, 56, yang bersetuju dengan pemilihan calon tempatan berkata pertaruhan calon muda boleh dipertimbangkan jika mempunyai ketrampilan dan kesungguhan dalam memimpin selain mahu memahami rakyat setempat.

Roszita berkata calon PRK DUN itu juga haruslah lebih prihatin dengan kehendak semua lapisan masyarakat.

Peniaga minuman Irwan Isnin, 40, berkata calon lelaki yang berwibawa dan mengutamakan kehendak rakyat bakal menjadi pilihannya pada PRK DUN Sungai Kandis kali ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon 21 Julai.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional daripada Umno, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).

- Bernama