Meskipun hanya berusia 25 tahun dan mencatatakan sejarah sebagai menteri paling muda,
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak kekok menjawab soalan yang berkaitan dengan kementerian belia dan sukan di Dewan Rakyat, hari ini.

Walaupun ada yang mendakwa beliau menjawap seperti sedang berdebat, namun, Syed Saddiq dikatakan berjaya memberikan tanggapan positif daripada jawapan panjang lebarnya itu.

Pada sesi soalan lisan dalam persidangan parlimen pertama beliau, Syed Saddiq menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung isu migrasi anak muda dari luar bandar ke bandar.

Katanya, kerjasama antara semua kementerian dapat mengurangkan jumlah migrasi belia luar bandar ke kawasan bandar dan program yang baik sebelum ini akan diteruskan dan ditambah baik seperti program Outreach Usahawan Belia, khusus untuk golongan belia luar bandar.

Ini menurutnya, sehingga kementeriannya berjaya melahirkan lebih 860 belia usahawan luar bandar.

Selain itu, perlu dipastikan juga urus tadbir yang baik dalam setiap program dilaksanakan agar tiada penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa berlaku.

Beliau berkata migrasi belia dari luar bandar ke bandar bukanlah perkara luar biasa kerana ia berlaku bukan sahaja di Malaysia malah luar negara.

“Pada 2013 hingga 2015, ada peningkatan 9.5 peratus migrasi belia luar bandar ke bandar, majoritinya daripada golongan muda dalam lingkungan usia 25 hingga 34 tahun iaitu pada kadar 35 peratus, manakala usia 15 hingga 24 tahun adalah 25 peratus,” katanya.

Syed Saddiq berkata agenda pembangunan di kawasan luar bandar yang dilaksanakan antara kementerian akan dapat membantu mengurangkan migrasi belia ke bandar.

Beliau berkata kerajaan akan berusaha memberikan pengiktirafan kepada golongan belia untuk menjawat pimpinan tertinggi peringkat kampung dan daerah bagi memastikan generasi itu memiliki 'sense of ownership' untuk terus kekal di tempat asal mereka.