Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesara kerajaan rugi lebih RM85,000 ditipu Macau Scam

Gara-gara terpedaya dengan panggilan daripada sindiket Macau Scam, seorang pesara kerajaan berusia 58 tahun kerugian RM85,246.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berada di rumahnya di Temerloh Jumaat lepas apabila dia menerima satu panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai kakitangan Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Lelaki itu mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan bayaran wang caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM17,600.76 yang perlu dijelaskan oleh syarikat milik mangsa yang berdaftar di Kedah.

"Mangsa yang terkejut dengan dakwaan itu kemudian disambungkan kepada dua individu yang mendakwa sebagai (anggota) polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang memintanya membuat beberapa transaksi bagi menyelesaikan kes berkenaan," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Berikutan itu, katanya lagi, mangsa telah memberi maklumat perbankan internet seperti yang diminta oleh suspek dan selepas memeriksa akaunnya kemudian, mangsa mendapati berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaunnya ke akaun pihak ketiga membabitkan jumlah keseluruhan RM85,246.

Katanya, mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan di Balai Polis Mentakab, Temerloh semalam.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Maran, seorang peniaga katering kerugian RM24,000 selepas diperdaya oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi di situ.

Mangsa, seorang wanita 38 tahun, telah dihubungi suspek pada 9 Julai lepas untuk menawarkannya satu kontrak penyediaan makanan kononnya untuk satu program di institusi berkenaan bernilai RM162,000.

“Mangsa bagaimanapun diminta oleh suspek untuk membayar sebanyak RM24,000 kepadanya terlebih dahulu menyebabkan mangsa telah berbuat demikian pada 11 Julai lepas dengan menyerahkan wang berkenaan kepada seorang wanita yang tidak dikenali yang dihantar oleh suspek,” katanya.

Setelah menyerahkan wang tersebut, mangsa diminta naik ke tingkat tiga bangunan pentadbiran institusi pengajian berkenaan kononnya untuk bertemu dengan seorang pegawai lain bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu.

Bagaimanapun, pegawai berkenaan tidak mengetahui tentang perkara itu menyebabkan mangsa berasa ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Wazir berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS