PARLIMEN | Kerajaan HARAPAN tidak akan mengganggu tugas atau campur tangan dalam kuasa speaker dewan rakyat ketika persidangan dijalankan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata pihaknya tidak akan mengacau kebijaksanaan speaker dan para timbalan speaker meskipun keputusan tersebut mungkin tidak begitu popular kepada HARAPAN atau penyokong.

“Insya-Allah… kerajaan baharu berbudaya dan bermentaliti baharu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hari ini, Ramkarpal Singh menjadi anggota parlimen pertama yang diarahkan keluar oleh Speaker Dewan Rakyat yang baru dilantik, Datuk Mohamad Ariff Yusof.

Ramkarpal diarahkan keluar Dewan Rakyat selepas enggan menarik balik kenyataannya yang menggelar Pemuda Umno sebagai “samseng”.

Ramkarpal sebelum itu mengimbas kejadian pada 2009 ketika mendiang ayahnya, Karpal Singh dikepung oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno.